Mahkamah Persekutuan kekalkan hukuman mati terhadap pencuci kereta
Panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Md Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, menolak rayuan Iskandar Zulkarnain Zolkifly atas pensabitan kesalahan dan hukuman mati yang telah dijatuhkan terhadapnya.
Zulkarnain, 31, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Okt 2019, yang menjatuhkan hukuman mati selepas mendapati lelaki itu bersalah membunuh Rabiatul Ain Mohamod, 27, di sebuah rumah di Jalan Temerloh Makmur 3, Taman Temerloh Makmur, Temerloh, Pahang pada 8.30 malam, 21 Okt, 2017.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada 29 Sept tahun lepas, menolak rayuan lelaki tersebut.
Berdasarkan keterangan, Zulkarnain yang tinggal bersama mangsa dan suaminya, telah menikam wanita itu berulang kali.
Dalam rayuannya, beliau mendakwa mangsa membangkitkan kemarahannya kerana mengadu dan menghina kerana tidak pergi bekerja.
Peguam K. Viknesvaran mewakili Zulkarnain, manakala Samihah Rhazali bagi pihak pendakwaan.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang bekas penjual kad prabayar Ng Kah Fai terlepas daripada hukuman mati apabila berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan hukuman mati yang dikenakan ke atasnya kerana membunuh seorang pelanggan yang berhutang RM100,000.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun ketika membacakan keputusan itu, bagaimanapun meminda pertuduhan membunuh terhadap Ng, 47, itu kepada menyebabkan kematian tanpa niat dan menjatuhi beliau hukuman penjara 20 tahun, bermula tarikh beliau ditangkap iaitu 20 Okt 2015.
Ng dituduh menikam Cheng Kok Seong, 41, seoranga peniaga menggunakan sebilah pisau di dalam sebuah kereta Toyota Vios yang diletakkan di Jalan SS 15/2A, Subang Jaya, Selangor antara 10 malam ke 11.30 malam, pada tahun 2015.
Dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi, Ng tidak menafikan telah menikam mangsa, namun beliau menyatakan perbuatan tersebut bagi mempertahankan dirinya.
Ng telah disabitkan kesalahan membunuh dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Julai, 2018.
Rayuan Ng di Mahkamah Rayuan pada 29 Jun 2020, telah ditolak.
Ng diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi, Datuk Salehuddin Saidin dan Hafizuddin Salehuddin manakala Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol bagi pihak pendakwaan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.