Formasi 65 Hotel Ames & MetraSquare semarak semangat patriotisme
AYER KEROH 31 Ogos – Kakitangan Hotel Ames & MetraSquare menampilkan kelainan dengan membentuk formasi 65 sebagai simbolik kemerdekaan tahun ini.
Penolong Pengurus Eksekutifnya Nurashiken Zainal Abidin berkata, formasi itu adalah aktiviti kali keempat dilaksanakan pihaknya bagi meningkatkan lagi keharmonian antara kakitangan berbilang bangsa.
“Hari ini (semalam) kita bawa seramai 65 kakitangan Hotel Ames untuk membuat formasi angka 65 sebagai tanda kita memberi sokongan kepada tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama.
“Setiap tahun apabila tibanya bulan kemerdekaan kita buat aktiviti seperti ini supaya kakitangan memahami dan menghayati erti kemerdekaan.
“Ini kerana kakitangan kita berbilang bangsa, ada Melayu, Cina dan India yang mempunyai budaya mereka sendiri tetapi bersatu hati antara satu sama lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas membuat formasi ke-65 sempena Hari Kebangsaan Ke-65 di Hotel Ames & Metrasquare di sini, semalam.
Nurashiken berkata, kehadiran semua kakitangan membuktikan semangat kemerdekaan bukan hanya dilafaz dibibir, malah perlu dipamerkan menerusi keperibadian seseorang individu.
“Semua kakitangan terbabit mengenakan pakaian tradisional, tetapi tidak mengikut bangsa itu sendiri sebab ada yang bangsa Melayu pakai baju cheongsam, India pakai baju Melayu dan banyak lagi.
“Apabila kita berkumpul bersama, kita dapat bersatu dengan teguh dalam menggapai impian yang kita mahukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.