Sorting by

×

Kisah ‘perang kimia’ abang Bomba

Masa Membaca:3 Minit, 49 Saat

AYER KEROH – Malaysia mungkin tewas berperang dengan COVID-19 selama dua tahun jika tidak ada semangat juang tinggi dalam diri petugas barisan hadapan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pakar dalam Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkongsi pengalamannya melawan COVID-19 bermula dari awal wabak itu merebak, fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan peralihan ke endemik.

Menjadi ‘arkitek’ menyusun pergerakan menyelamat dan operasi bantuan lain di zon merah COVID-19 bukan perkara yang mudah, kerana semuanya perlu teliti bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa wabak pembunuh itu.

WhatsApp Image 2022-08-27 at 7.13.58 PM
TERPAKSA memakai PPE setiap kali menjalankan operasi menyelamat kemalangan jalan raya ketika tempoh pandemik COVID-19.

“Ketika awal penularan pada 2020 saya dan pasukan dari Melaka turut terbabit dalam operasi membabitkan rakyat Malaysia dari Wuhan, China iaitu pusat penularan COVID-19 yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Rakyat Malaysia terbabit menaiki pesawat khas di KLIA perlu melalui proses nyah cemar (DECON) dan kemudian ke Unit Bencana Udara (ADU). Proses DECON semua penumpang membabitkan pakaian, dokumen perjalanan, beg dan saringan kesihatan dilakukan Pasukan Hazmat JBPM sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ketika itu, bomba Melaka dipertanggungjawabkan khas untuk membuat DECON pesawat Airbus 320 yang membawa penumpang dari negara berisiko, seawal jam 6 pagi dan operasi itu memakan masa sehingga lima jam dan ianya sangat berisiko tinggi kerana ketika itu, wabak COVID-19 dikenal pasti datangnya dari Wuhan.

“Pada waktu itulah bermulanya operasi COVID-19 bagi pasukan Hazmat di Melaka sepanjang dua tahun segala pelaksanaan dan kerja-kerja nyah cemar premis atau bangunan-bangunan kerajaan akan dilakukan pihak bomba,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

GELOMBANG KEDUA

Bapa kepada tiga anak itu berkata, ketika gelombang kedua COVID-19, JBPM sekali lagi berdepan cabaran genting berikutan dengan kes positif naik secara mendadak.
“Ketika kes mendadak pada gelombang kedua, KKM sebagai agensi peneraju bagi wabak ini dengan kerajaan Malaysia memberi kepercayaan kepada JBPM untuk mengetuai operasinyah cemar kapal terbang, DECON, ‘transportation’ dan banyak lagi operasi di belakangnya.

WhatsApp Image 2022-08-27 at 7.13.57 PM
SETIAP anggota perlu menjalani proses nyah cemar setiap kali selesai misi menyelamat.

“Namun tidak dengan hanya melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19, malah JBPM turut diberi tanggungjawab dengan pelaksanaanPKP, serta penubuhan Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Jadi sepanjang dua tahun pandemik COVID-19, JBPM Melaka memang sibuk dengan operasi sanitasi secara keseluruhan membabitkan 5,000 bangunan dan ketika itu juga pelbagai cabarang datang, ini termasuk banjir besar yang melibatkan kehilangan nyawa seorang anggota ketika operasi menyelamat mangsa di Sungai Putat,” ujarnya.

OPERASI MENINGKAT

Dia yang sudah 12 tahun tempoh berkhidmat bersama JBPM berkata, sepanjang tempoh dua tahun yang mencabar itu, operasi pihak JBPM negeri meningkat sehingga dua ke tiga kali ganda.

photo1627289608
ZULKHAIRANI

“PKRC antara penyebab bomba Melaka berkali ganda sibuk, kerana setiap hari dalam tempoh itu (dua tahun) kita nyah cemar semua kenderaan pesakit yang memasuki PKRC,” katanya.

Anak kelahiran Mersing, Johor ini berkata, antara pengalaman sukar ketika bertugas dalam tempoh tersebut adalah setiap kali berlakunya kemalangan atau ada operasi menyelamat, pihak bomba perlu memakai beberapa lapis pakaian perlindungan (PPE).

“Setiap insiden melibatkan mangsa, mayat atau jenazah kita akan nyah cemar dahulu kawasan terbabit selepas itu baharulah kita akan nyah cemar beg mayat.

“Sebenarnya antara kesukaran dihadapi pihak bomba ketika pandemik adalah untuk kebumi mayat obesiti dan ada beberapa kategori insiden, pertamanya adalah apabila mereka perlu bantuan untuk dibawa ke hospital, pihak bomba terpaksa menggunakan lori.

“Seterusnya, paling mencabar adalah pengebumian mangsa dan jenazah obesiti positif COVID-19. Kena turunkan jenazah ke liang lahad dengan cara yang betul dan kita gunakan peralatan serta perancangan yang betul berikutan ada jenazah ini yang berat 200 kilogram.

“Ada satu kes, kita gunakan tiga hos pemadam api untuk turunkan jenazah obesiti ke dalam liang lahad, hos tersebut kita tempatkan pada badan jenazah dan ia berhasil,” katanya yang menyifatkan persiapan mental dan fizikal perlu diutamakan pada waktu-waktu mencabar.

ERTI MERDEKA

Bagi Zulkhairani, pengertian merdeka baginya bagaimana cara kita sayangkan negara.
“Sebagai anggota bomba,saya lebih menggunakan perkataan ‘saya buat sesuatu ini untuk negara, meskipun kecil, tapi persediaan saya untuk keselamatan negara, pembangunan negara itu besar.

“Secara umumnya orang pandang tinggi kepada agensi beruniform. Jadi, kitalah yang menjadi ‘role model’ kepada sektor lain supaya dalam tindakan, pekerjaan seharian, mesti fikirkan negara bukan kepentingan peribadi,” katanya.

WhatsApp Image 2022-08-27 at 7.13.58 PM (1)
PASUKAN Hazmat menjadi antara watak penting ketika negara berperang dengan pandemik COVID-19.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2450
Kongsi :
Previous post PM Ismail Sabri umum inisiatif baharu, berita gembira untuk penjawat awam
Next post Wanita ditahan bantu siasatan kes kematian bayi lelaki
Ubah saiz-+=