Kanak-kanak lelaki, dua warga emas antara mangsa maut di LPT1
TEMERLOH, 27 Ogos – Identiti empat mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) hala Kuantan awal pagi tadi melibatkan empat buah kenderaan, telah dikenal pasti.
Mereka ialah penumpang kereta Proton Exora Mohmed @ Mohamed Shamsuddin, 75, isterinya Kamariah Hamzah, 72, serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikenali sebagai Danis, serta pemandu trak tunda Mohd Azuan Zainal Abidin, 53.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata kemalangan yang dipercayai berlaku pada 3.10 pagi tadi, juga menyebabkan lapan lagi penumpang Proton Exora itu yang berusia antara dua hingga 30 tahun cedera.
Sementara itu, pemandu kereta Proton Waja yang berusia 36 tahun koma, manakala dua anak perempuannya berusia 11 dan lima tahun cedera ringan dan isterinya, 36, tidak mengalami kecederaan.
“Pemandu lori (kontena) berusia 56 tahun dan berasal dari Kedah, juga cedera ringan dalam kemalangan tersebut dan kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mohd Azhar berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori kontena melanggar ketiga-tiga kenderaan terbabit (Proton Exora, Proton Waja dan trak tunda) yang berada di lorong kecemasan.
“Lori kontena dipercayai merempuh trak tunda yang semasa itu dalam proses menaikkan Proton Exora untuk ditunda,” katanya.
Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta datang ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Mayat mangsa dan semua yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.