Kakitangan APM didenda RM28,000 terima suapan
Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Nazrin Mohd Nasir, 38, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan.
Mohd Nazrin sebagai penjawat awam iaitu Pembantu Pertahanan Awam di APM didakwa menerima wang tunai berjumlah RM20,500 dan cuba mendapatkan RM18,000 tanpa balasan daripada pemilik Syarikat Pendang Jaya Sdn Bhd yang tertuduh ketahui syarikat tersebut tiada kena-mengena dengan tugas rasminya.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tiga restoran berasingan di Putrajaya dan Pahang antara 7 hingga 11 Okt 2021, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Peguam Khairul Naim Rafidi yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga yang menyara isteri serta seorang anak berusia 13 tahun selain menghidap diabetis yang memerlukan suntikan insulin.
Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras memohon hukuman berat kerana tertuduh yang merupakan penjawat awam telah mengetepikan integritinya dengan terlibat dalam jenayah rasuah yang merupakan suatu perbuatan jijik dalam kalangan masyarakat.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.