Isu KLFA: SPRM akan panggil saksi bantu siasatan
Sumber berkata mereka yang terlibat akan dipanggil dalam tempoh terdekat.
Menurut sumber, serbuan dan siasatan terhadap pejabat KLFA dan Kuala Lumpur City FC (KL City) dilakukan susulan laporan diterima pihak SPRM mengenai dakwaan kes pecah amanah membabitkan wang tajaan KL City dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati.
“Ketika ini, dokumen yang diperoleh dari pejabat KLFA minggu lepas telah dihantar ke bahagian forensik untuk dianalisis.
“SPRM akan meneliti proses penggunaan dana tajaan ini sama ada mengikut peraturan yang ditetapkan,” kata sumber itu.
Menurut sumber, tajaan paling besar adalah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diikuti beberapa syarikat di sini.
“Bagaimanapun, siasatan masih di peringkat awal dan SPRM akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap persatuan bola sepak itu mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pejabat KLFA diserbu pegawai SPRM pada minggu lepas kerana disyaki wujud unsur pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan wang tajaan KL City dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati, dengan anggaran jutaan ringgit.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.