Bandar Universiti pertama Melaka bakal dibangunkan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDAR MELAKA 23 Ogos – Yayasan Melaka yang ditubuhkan bermula 1984 terus mengorak langkah menjadi antara agensi pemangkin kemajuan negeri Melaka.

Jika sebelum ini, agensi berkenaan lebih sinonim dengan bidang pendidikan, pertanian dan perlombongan, kini Yayasan Melaka bakal menjadi pencetus dalam bidang pembangunan baharu di negeri ini.

Menurut Pengurus Besarnya Datuk Yusof Jantan, pembangunan baharu yang dimaksudkan ialah membangunkan Bandar Universiti Yayasan Melaka atau singkatannya BUYME.

Jelasnya, Bandar Universiti yang pertama di Melaka itu dicadang untuk dibangunkan di tanah seluas 91.46 hektar bersebelahan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

“Insya-Allah jika diizinkan mungkin pada September kita akan melakukan kerja pecah tanah dan kini pelan kerja itu berada pada fasa akhir untuk diluluskan.

“Tempoh pelaksanaan projek ini adalah lapan hingga 10 tahun akan datang dan jika ia direalisasikan, projek ini akan bernilai RM627 juta,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, BUYME yang akan dibangunkan itu merangkumi komponen seperti rumah kos rendah, rumah Semi-D dan kondominium pelajar, selain turut merangkumi lot kerajaan, kompleks beli belah dan kilang.

Jelasnya, konsep bandar itu seakan-akan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh dengan turut mengambil kira infrastruktur lengkap.

“Kita akan bangunkan bandar itu siap dengan infrastruktur lengkap yang mana kita sebahagian tanah akan kita buka kepada yang berminat untuk pembangunan itu dan sebahagian lagi akan kita buat sendiri.

“Kita buat sendiri kerana tidak mahu lagi bergantung kepada usahasama orang memandangkan Ketua Menteri dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri turut memberi dorongan dan galakan agar Yayasan Melaka tidak lagi bergantung pada usahasama,” ujarnya.

Selain pembangunan, Yusof berkata, Yayasan Melaka juga akan terus memperkasa bidang pertanian selaras dengan seruan kerajaan negeri.

Yang terbaharu, ujarnya, agensi berusia lebih 38 tahun itu akan mengusahakan tanah seluas 80.93 hektar di Brisu bagi penanaman durian Musang King yang kini dalam fasa penanaman dan penyediaan tapak semaian.

Katanya, ladang itu dijangka akan ditanam kira-kira 6,000 pokok durian Musang King dan ia akan dilancarkan pada September atau Oktober depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3909
Kongsi :
Previous post KAYM kembalikan tradisi gotong-royong
Next post Mayat remaja perempuan ditemukan, disyaki mangsa bunuh
Ubah saiz-+=