Penetapan harga minyak masak domestik, eksport dua minggu lagi – Rosol
BANDA HILIR 22 Ogos – Cadangan penetapan harga dua peringkat (two-tiered pricing) minyak masak bagi domestik dan eksport akan diperincikan kabinet dalam tempoh dua minggu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) mengenai penetapan harga tersebut.
“Kita ada cadangan untuk jadikan harga minyak ‘two-tiered’ bagi pasaran domestik dan eksport, setakat ini kita dengan menteri terlibat telah adakan mesyuarat tapi hasilnya akan diputuskan oleh kabinet.
“Diharap ia dapat meringankan beban kerajaan berhubung isu minyak masak bersubsidi ini, kita belum ada maklumat terperinci dan ia akan diselesaikan dalam kabinet dalam masa dua minggu lagi.
“Keputusan ini walaupun kita sudah setuju, tapi perlu kepada (kelulusan) kabinet untuk putuskan dan kita harap ianya dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat ke-67 ASEAN Working Group on Intellectual Property Cooperation (AWGIPC) di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Lakar; Ketua Pengarah MyIPO Filipina merangkap Penegrusi AWGIPC, Rowel S. Barba ; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MyIPO, Zulkarnain Muhammad dan lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.