Sorting by

×

Tanam cerucuk perkukuh tebing runtuh

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

TABOH NANING 30 Sept.  – Cerucuk akan ditanam bagi mengelakkan tebing berhampiran kediaman Hairuddin Bakar, 47, di Kampung Ulu Sungai Buloh, di sini terus runtuh.

Keselamatan tujuh sekeluarga yang diancam tebing runtuh itu akan dibantu supaya terjamin melalui kerja menanam cerucuk kayu di kawasan runtuhan setinggi enam meter.

Ketika memberi jaminan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning Datuk Latifah Omar berkata, penanaman cerucuk diperbuat daripada kayu tahan air adalah kaedah paling sesuai bagi memelihara kestabilan tebing dan kediaman Hairuddin.

“Kami akan berusaha mendapatkan peruntukan menanam cerucuk itu bagi mengelakkan runtuhan tebing semakin melebar dan mengancam kediaman Hairudin dan keluarganya.

“Kami akan mencuba mendapatkan peruntukan daripada Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan kami akan tambah dengan peruntukan kami sendiri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan jangkaan bila kerja berkenaan akan dilaksanakan kerana ia bergantung kepada usaha mendapatkan peruntukan.

Sementara itu, Hairudin berkata, beliau dan isteri serta lima anak berusia antara 10 hingga 19 tahun amat berharap ada pihak sudi membantu mereka menjalankan kerja pembaikan tebing yang runtuh akibat hujan lebat pada jam 6.30 petang, 21 September lalu.

“Kami tidak mampu mengeluarkan wang untuk menjalankan kerja pembaikan tebing kerana saya hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala isteri Normah Abu Bakar, 40, tidak bekerja.

“Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, kami terpaksa menumpang di rumah ibu saya kira-kira satu kilometer dari rumah kami tetapi setakat ini kami masih belum memindahkan barangan dalam rumah yang diancam runtuhan tebing,” katanya.

Dalam kejadian itu, Hairuddin dan anggota keluarganya terpaksa meninggalkan kediaman berkenaan selepas dinasihatkan Jurutera Daerah (JD) Jabatan Kerja Raya (JKR) Alor Gajah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abdul Hakim Hamzah berkata, tebing berkenaan tidak termasuk dalam rizab tanah JPS tetapi jabatan itu tetap berusaha membantu meringankan beban Hairudin untuk menjalankan
kerja pembaikan tebing.

Sehubungan itu, JPS berusaha mendapatkan peruntukan untuk menjalankan kerja pembaikan tebing berkenaan.

Views:

1382
Kongsi :
Previous post UTeM sumbang tenaga kerja mahir bidang digital
Next post COVID-19: Semua kontak rapat kepada ahli Babel yang dijangkiti, negatif
Ubah saiz-+=