Penguatkuasaan terhadap kumpulan ajaran sesat tertakluk kuasa jabatan agama Islam negeri
Beliau berkata ini kerana masih terdapat masyarakat yang terkeliru dan berpendapat bahawa perkara itu adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Dalam perkara ini (ajaran sesat), kuasa Jakim adalah sebagai penyelaras, jika ada aduan kita akan maklumkan kepada jabatan agama Islam negeri untuk diambil tindakan.
“Selain itu, melalui kerja-kerja penyelarasan ini juga langkah yang dibuat oleh Jakim melibatkan penekanan dalam teks khutbah selain forum-forum perdana yang disebar luas khusus bagi menangani masalah ajaran sesat ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas menghadiri Program Jualan Bantu Rakyat Parlimen Bukit Gantang di Kampung Sungai Tinggi Trong, hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut menasihatkan kepada mana-mana individu Muslim yang ingin mendalami ilmu agama supaya mencari guru berlandaskan syariat agar tidak berlaku pemesongan daripada sudut akidah.
“Jangan berguru dengan orang yang kita sendiri pun tidak tahu latar belakangnya. Ada yang ikut mengaji di tempat tersembunyi, bercampur gaul lelaki dan perempuan tanpa menjaga langsung batas pergaulan. Perkara ini saya fikir perlu diteliti agar tidak berlaku perkara yang terlarang,” katanya.
Mengulas mengenai program itu, Idris berkata ia dilaksanakan bertujuan membantu meringankan beban masyarakat setempat bagi mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih murah daripada pasaran.
Beliau berkata antara barangan keperluan yang dijual adalah seperti beras, gula, tepung, susu, telur, bawang dan sebagainya.
“Program ini kali ketiga kita laksanakan di kawasan ini dan pemotongan harga sebanyak 15 peratus kita berikan kepada masyarakat setempat yang berminat untuk mendapatkan barangan keperluan harian,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.