Wanita berihram kerjakan umrah masih dicari
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata pihaknya tidak mendapat maklumat lengkap sama ada individu tersebut sudah pulang ke Malaysia atau belum.
“Saya tak ada maklumat. Masih lagi semak maklumat ke mana dia pergi sebab dia ke sana (umrah) bukan dengan agensi tetapi secara DIY (diurus sendiri).
“Kita juga nak tahu status dia ini macam mana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan dewan besar dan upacara pecah tanah Pondok Kitab Turath di Kompleks Pendidikan Al Rahmat, Duyong di sini hari ini.
Menurutnya sebelum ini pihaknya telah mendapatkan bantuan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut sebelum tindakan tegas seterusnya diambil.
Bantuan daripada kedua-dua kementerian tersebut adalah susulan individu tersebut didakwa menggunakan visa pelancongan dan bukan menerusi khidmat agensi umrah.
Terdahulu, pada 12 Ogos media melaporkan tindakan tegas menanti individu wanita itu berikutan tular di Twitter mengenai dia yang berada di Mekah dalam keadaan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah lelaki.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai penganjuran konsert yang silih berganti, Idris menjelaskan sepatutnya penganjuran sebegitu tidak perlu dilakukan.
“Sepatutnya konsert tidak perlu ada. Bukan anti hiburan tetapi cukuplah dengan apa yang kita ada.
“Kita baru saja mengalami pandemik dan Alhamdulilah, Allah tarik semula penyakit itu tetapi tiba-tiba kita buat macam ini, jadi amat malanglah. Dalam keadaan ekonomi yang teruk ini pun rasanya tidak sesuai sebab (penganjuran dan tiket) konsert itu kena bayar banyak,” katanya.
–BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.