Sorting by

×

KPLB peruntuk RM176 juta untuk elaun JPKK, JPKKP seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

SERI NEGERI 19 Ogos – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan hampir RM176 juta bagi bayaran elaun kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sejumlah lebih RM80 juta telah selesai disalurkan kepada 12 negeri bagi fasa satu bulan Januari hingga Jun tahun ini.

“Elaun berkenaan adalah insentif oleh Kerajaan Persekutuan sebagai menghargai peranan JPKK dan JPKKP dalam menggerakkan komuniti setempat.

“Kerajaan melihat peranan JPKK amat penting sebagai perantara di peringkat akar umbi dalam menyalurkan sebarang masalah atau aduan masyarakat kepada pihak berkuasa serta agensi yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah JPKK Negeri Melaka Tahun 2022 di Auditorium Seri Negeri, hari ini.

Penyerahan watikah kepada 316 JPKK di Melaka telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum dan Exco Kanan Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan; Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh; Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Mahdzir memaklumkan setakat ini terdapat dua lagi negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor belum disalurkan peruntukan elaun tersebut.

Jelasnya, ia berikutan Pulau Pinang masih belum menyelesaikan lantikan JPKK di negeri itu, manakala Selangor masih menggunakan peruntukan sedia ada.

Tambahnya lagi, selain peruntukan daripada KPLB, terdapat juga negeri yang memberikan elaun tambahan kepada JPKK, contohnya Melaka.

“Untuk elaun tambahan ini, Kerajaan Negeri Melaka misalnya memberi RM200 sebulan bagi Pengerusi, RM50 sebulan bagi Setiausaha, RM100 elaun mesyuarat iaitu terhad kepada enam kali mesyuarat setahun dan RM50 untuk Elaun Kehadiran Mesyuarat,” ujarnya

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, bayaran elaun JPKK fasa dua bagi Negeri Melaka masih dalam proses melengkapkan dokumentasi oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri dan ia dijangka dapat disegerakan sebelum akhir tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2195
Kongsi :
Previous post Senarai Kampung Sejahtera diketahui sebulan lagi
Next post Guru besar didakwa kemuka tuntutan palsu
Ubah saiz-+=