AKPK saran peminjam nilai kedudukan kewangan berikutan moratorium bakal berakhir
KUALA LUMPUR, 29 Sept. – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyarankan para peminjam mengambil langkah proaktif dalam menilai kedudukan kewangan mereka pada masa ini dan masa hadapan berikutan tempoh automatik moratorium bakal berakhir esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Azaddin Ngah Tasir berkata para pelanggan yang menjangkakan menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran balik pinjaman harus menghubungi pihak bank masing-masing bagi berbincang pembayaran balik pinjaman mereka selepas moratorium berakhir.
“Ketika ekonomi negara sedang menunjukkan tanda-tanda pemulihan, kami faham masih terdapat ramai individu yang cuba sedaya upaya untuk menangani impak pandemik COVID-19.
“”Terdapat pelbagai pilihan bantuan pembayaran balik pinjaman bersasar bagi membantu pelanggan menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik. Antaranya seperti mengurangkan jumlah komitmen bulanan, melanjutkan jadual pembayaran balik pinjaman dan/atau menukar syarat-syarat pembiayaan bagi menyesuaikan diri mereka dengan situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihak AKPK akan menyediakan beberapa pelan pembayaran balik pinjaman yang sesuai selepas mempertimbangkan komitmen kewangan pelanggan secara menyeluruh,” kata Azaddin.
“Pelanggan juga boleh mendapatkan nasihat dan bantuan daripada AKPK sekiranya cadangan dari pihak bank tidak memenuhi komitmen kewangan mereka secara menyeluruh ataupun mereka sudahpun mempunyai beberapa pinjaman dari bank,” katanya.
AKPK juga ada menyediakan khidmat kaunseling dan pendidikan dalam pengurusan kewangan secara berhemat.
“Khidmat-khidmat tersebut akan membantu para pelanggan untuk meningkatkan produktiviti mereka di tempat kerja dan dan seterusnya memberikan ketenangan minda apabila situasi kewangan terkawal,” tambah beliau.
— BERNAMA