‘Kebun kerang’ didik nelayan jangan tamak
MERLIMAU 17 Ogos – Projek kebun kerang seluas 330 hektar yang kini sedang diusahakan di sepanjang perairan Merlimau hingga ke Sebatu dijangka dapat menampung bekalan pasaran yang kian merosot kini.
Malah trend kemerosotan hasil laut itu jelas kelihatan apabila ada yang dijual dipasaran saiznya agak kecil, namun harganya mencecah belasan ringgit bagi setiap sekilogram.
Dikatakan selain lokasi pembiakan yang tidak sesuai, sikap tamak segelintir pihak yang langsung tidak mengendahkan kelangsungan pembiakan sehingga menjejaskan populasi kerang suatu waktu dahulu memberi kesan pada masa kini.
Inisiatif yang diambil kerajaan dengan mewujudkan kebun kerang di Melaka, dengan permulaan seramai 10 nelayan dipilih dilihat bukan sahaja dapat menangani kepupusan hidupan laut itu tetapi sebagai sumber pendapatan tambahan kepada peserta.
Bagi nelayan, Mohamad Azahar Amer, 44, selepas menyertai program kebun kerang ini banyak teknik dan ilmu diperolehnya dalam menguruskan dan memastikan hasil pembiakan kerang berterusan.
Katanya, proses ‘menuai’ hasil kerang mungkin boleh dilakukan sesiapa sahaja, tetapi kaedah penternakan dan usaha memastikan populasinya tidak pupus perlu dipelajari dengan teknik yang betul.
“Selepas mengikuti program ini baru kita tahu tidak semua hasil kerang itu boleh diambil. Contohnya sebelum ini nelayan mahupun mereka yang terbabit ‘main kaut’ sahaja selagi boleh tetapi melalui kebun kerang ini segala langkah menguruskan hasil diajar oleh tenaga pengajar.
“Apa yang saya dengar sebelum ini, mereka yang terbabit hanya tahu kaut sahaja tetapi tidak tahu untuk ternak sehinggakan benih yang masih kecil turut diambil untuk dijual.
“Sepatutnya kerang yang masih kecil perlu dibiarkan untuk terus membesar manakala yang besar dibiar supaya menjadi induk bagi pastikan populasi hidupan ini berterusan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, hasil benih yang ditaburkan pada penghujung Julai lalu dijangka dapat dituai dalam tempoh kira-kira enam bulan dan ia sekali gus memberi sinar baharu buat nelayan yang sebelum ini hanya bergantung kepada hasil tangkapan pukat hanyut.
“Sampai bila nelayan hendak berada di takuk lama sahaja,ia perlu ada perubahan, jadi dengan inisiatif ini kami boleh memperbaiki kehidupan yang lebih baik dengan pendapatan sampingan diperoleh,” katanya yang sudah 15 tahun menjadi nelayan.
Bagi seorang lagi nelayan, Said Bakar, 61, sekiranya usaha kebun kerang ini memberi perkembangan positif dan membuahkan hasil, sudah pasti ia bukan memberi rezeki kepada peserta malah akan memberi tempias kepada rakan yang lain.
Namun begitu katanya, peserta tidak hanya boleh duduk di darat dan menunggu benih kerang itu membesar, sebaliknya pemantauan serta tinjauan berterusan perlu dilakukan bagi memastikan benih membesar dengan baik selain mengelak dari berlakunya kes kecurian.
“Musuh kerang ini bukan hanya di laut sahaja tetapi di darat lagi teruk kerana mereka ini boleh tahu bila hasil-hasil ini dapat dituai jadi kita kena kerap jengah.
“Malah pemantauan pembesaran saiz juga perlu dibuat, jika kita melihat saiz tidak membesar ia perlu dipindahkan ke lokasi lain.
“Buat waktu ini ia menunjukkan perkembangan positif dan kita harap ianya akan berjaya sekaligus dapat beri pendapatan lumayan kepada nelayan malah apabila tiba musim tengkujuh kami tidak perlu lagi risau tidak dapat turun ke laut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.