Cat semula menara jam Banda Hilir dijangka siap November
BANDA HILIR 15 Ogos – Kerja mengecat menara jam di Bangunan Stadthuys, di sini, yang sebelum ini didakwa tergendala dijangka akan siap selewat-lewatnya pada November depan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu berkata, kerja mengecat semula struktur Menara Jam Tan Beng Swee dianggarkan mengambil masa antara dua atau tiga bulan sebelum dapat disiapkan sepenuhnya.
Beliau berkata, kerja penyelenggaraan dan mengecat semula keseluruhan menara itu menelan belanja lebih RM100,000.
“Saya rasa mungkin dalam dua atau tiga bulan kerana untuk pastikan kerja-kerja ini tidak mudah. Kod warna merah ini ada sesetengahnya memang untuk bangunan bersejarah.
“Kerja mengecat ini perlu utamakan teknik bagi memastikan jangka hayat, misalnya kalau kita sapukan di atas cat sedia ada maka ketahanan jangka hayat akan pendek.
“Untuk bangunan warisan ini adalah kita perlu buangkan lapisan lama dan seterusnya disapu cat baharu, barulah ia kekal lama dan keaslian warna itu akan terserlah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Melaka Heritage Parade 2022, sempena Sambutan Ulangtahun Ke-14 Melaka Bandaraya Warisan Dunia (UNESCO) 2022, di sini, malam tadi.
Majlis berkenaan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Turut hadir, Duta Mexico, Edmund Font Lopes; Duta Timor Leste, Joanna Veneranda Amaral; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh.
Sementara itu, Zainal berkata, bagi memastikan status bandaraya warisan yang diperoleh terus utuh dan berlanjutan, pemuliharaan dan pemugaran terhadap monumen atau warisan sejarah perlu dijalankan.
“Sejajar dengan Rancangan Tempatan MBMB 2035 kita akan pastikan dan tingkatkan usaha-usaha ini dari masa ke semasa supaya kita tidak tergugat dari segi status warisan ini.
“Untuk pemuliharaan kita akan lihat identiti setiap warisan itu, kalau kita rasa perlu di baik pulih atau ‘touch up’ jadi perkara ini akan diutamakan dahulu,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 400 artis kebudayaan termasuk dari pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan MBMB membuat persembahan kebudayaan pada malam Melaka Heritage Parade 2022 itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.