60 lokasi di Duyong akan dipasang lampu solar

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

DUYONG 14 Ogos – Enggan membiarkan isu permohonan lampu jalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong terus berlarutan, pemasangan lampu solar diambil sebagai alternatif penyelesaian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pihaknya menerima banyak permohonan pemasangan lampu jalan bagi tujuan keselamatan penduduk, namun pada tahun ini tiada lagi peruntukan bagi menjalankan kerja terbabit.

Selain itu katanya, antara faktor yang menyukarkan pihaknya untuk mengambil tindakan susulan juga adalah permohonan dibuat hanya berbentuk aduan lisan tanpa ada sebarang dokumen sebagai bukti keperluan.

“Permohonan diterima banyak malah yang lama tertunggak sejak 2019 juga belum selesai dan masalahnya tahun ini tiada peruntukan daripada kerajaan.

“Pilihan yang ada adalah pemasangan lampu solar, untuk itu saya mengeluarkan belanja membeli 60 lampu solar dan tiang besi untuk permulaan ini,” katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Duyong akan membuat semakan sebelum membuat pemasangan lampu berkenaan di kawasan yang dilihat perlu.

“Pegawai JAPERUN kini sedang perhalusi senarai permohonan, keutamaan akan diberikan di kawasan yang tiada lampu jalan, jalan kegunaan orang ramai.

“Bagaimanapun pemasangan ini tidak akan dibuat di kawasan rumah persendirian dan Insya-Allah kita akan jalankan pada minggu ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2218
Kongsi :
Previous post MAHA 2022 dapat sambutan luar biasa, catat 1.4 juta pengunjung
Next post KPM akan umum data lepasan SPM tidak lanjut pelajaran
Ubah saiz-+=