Kelekaan ragut kemenangan Melaka United

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

“KITA perlu salahkan diri sendiri, benda (kemenangan) sudah di depan mata tapi kita tak ambil peluang.”

Itu kata pengendali Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) Mohd Asri Ninggal selepas pasukannya sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Katanya, keputusan itu cukup mengecewakan terutama apabila skuad Hang Tuah yang selesa mendahului 2-0 dibolosi dua gol pada tiga minit terakhir permainan.

“Kita bermain bagus tetapi disebabkan kelekaan kita membenarkan mereka melakukan ‘crossing’ dari luar dan kena dua gol.

“Sebenarnya, kita jangkakan Pahang akan bermain bagus kerana mereka sudah menunjukkan prestasi terbaik tidak dibolosi dalam tiga perlawanan terdahulu dan kita bermain secara normal tetapi berjaya menguasai permainan.

“Cuma disebabkan pemain tidak fokus dan akhirnya kesilapan mudah menghukum kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi itu, Melaka United yang selesa mendahului 2-0 hasil jaringan Ifedayo Olusegun dan Adriano pada minit ke-38 dan 51 dikejutkan dengan kebangkitan saat akhir Sri Pahang yang berjaya membolosi dua gol pada minit ke-87 dan 90.

Ia merupakan perlawanan ketiga berturut-turut yang menyaksikan Melaka dibolosi pada minit-minit terakhir permainan.

Justeru, Mohd Asri meminta anak buahnya kembali bangkit dan memperbaiki kelemahan terutamanya fokus di minit-minit akhir permainan.

“Selepas ini akan bertemu Terengganu FC di tempat lawan dan ia bukan perlawanan yang mudah, jadi pemain perlu segera bangkit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2007
Kongsi :
Previous post Kerap sakit kaki petanda remaja hidap kanser tahap empat
Next post Arab Saudi benarkan pemegang visa pelancong tunai umrah
Ubah saiz-+=