Gol minit akhir jadi ‘badi’ Melaka United

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Sri Pahang FC selepas terikat 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Walaupun mendahului dua gol, skuad kendalian Mohd Asri Ninggal dihukum dengan dua gol pelawat pada minit akhir permainan sekali gus meleburkan hasrat membawa pulang tiga mata berharga.

Dalam aksi yang dihadiri lebih 3,000 penyokong itu, Melaka terlebih dahulu di depan pada minit ke-38 hasil jaringan Ifedayo Olusegun.

Bersambung di babak kedua, Melaka terus selesa menambah gol kedua pada minit ke-51 menerusi Adriano yang melakukan rembatan deras ke penjuru kiri pintu gol pelawat.

Rentak selesa itu berterusan sehinggalah berbaki lima minit terakhir apabila Sri Pahang seolah-olah menggila dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit.

Gol pertama pelawat dijaringkan pada minit ke-87 menerusi David Rowley dan Sharul Nizam menambah gol kedua pada masa kecederaan untuk menghampakan tuan rumah.

MELAKA – 13 OGOS 2022, Pemain Melaka United FC, Mohamad Fadhli Mohd Shas (kanan) bersaing dengan pemain Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff (kiri) dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini. Foto : MR. AZLI

Keputusan seri itu meletakkan skuad Hang Tuah di tangga ketujuh Liga Super dengan mengutip 17 mata hasil empat kemenangan dan lima seri.

Selepas ini, Melaka dijadual menentang Terengganu FC di Kuala Terengganu, 2 September depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4932
Kongsi :
Previous post TYT hadir ke majlis Apresiasi Orang Kampung
Next post Kerap sakit kaki petanda remaja hidap kanser tahap empat
Ubah saiz-+=