Melaka United tidak ‘cuak’ berdepan Tok Gajah
KELAB Bolasepak Melaka United tidak gentar berdepan dengan Sri Pahang FC menjelang pertemuan Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam esok
Pemain pertahanan Melaka United Mohd Fadhli Shas berkata, walaupun skuad kendalian Datuk Dollah Salleh itu dilihat semakin meningkat sejak akhir-akhir ini, namun ia tidak melemahkan semangat juang skuad Hang Tuah yang mahu bangkit selepas tewas di tangan Sabah FC sebelum ini.
“Memang perlawanan ini sangat getir dan kami perlu memanfaatkan sahaja peluang serta ruang malah tidak boleh lakukan banyak kesilapan kerana jentera serangan Sri Pahang begitu berbahaya.
“Namun Melaka United tidak boleh terlalu gusar dengan Sri Pahang kerana kami juga ada kelebihan tersendiri serta ada pamerkan banyak peningkatan kebelakangan ini, cuma ada kalanya keputusan tidak sebelahi pasukan.
“Walaupun bermain di laman sendiri pada Sabtu ini, saya tidak fikir kami ada kelebihan besar memandangkan Sri Pahang sedang lalui fasa terbaik apabila menang dalam tiga perlawanan terakhir,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik Malaysian Football League, hari ini.
Sejak diambil alih oleh Dollah, Sri Pahang berjaya menumpaskan beberapa kelab besar seperti Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, selain turut menumbangkan PJ City FC dengan ajringan besar baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohd Fadhli berkata, dia dan pasukan berikrar untuk tidak mengulangi kesilapan sama seperti sebelum ini iaitu tewas menerusi jaringan minit akhir perlawanan.
“Tewas pada saat-saat akhir permainan merupakan satu momen yang pedih.
“Kami perlu kekalkan momentum dan fokus sehingga wisel penamat ditiupkan jika tidak mahu kekecewaan ketika tewas kepada JDT pada saingan suku akhir Piala FA 23 Julai lalu terjadi lagi apabila bertemu Sri Pahang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.