Tabung Pahlawan Melaka kutip RM150,000

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERI NEGERI 12 Ogos – Kerajaan negeri berjaya mengutip sejumlah RM150,000 bagi Tabung Hari Pahlawan 2022 Peringkat Negeri Melaka setakat ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman mewakili Ketua Menteri berkata, kutipan tabung itu dilakukan sebagai tanda menghargai jasa pahlawan negara yang menegakkan keselamatan dan keamanan tanah air.

“Alhamdulillah secara tidak rasmi sempena pelancaran tabung pahlawan kita menerima pelbagai sumbangan daripada agensi-agensi kerajaan bernilai kira-kira RM150,000.

“Saya menyeru mana-mana agensi, orang perseorangan, usahawan dan sebagainya terus memberi sumbangan untuk tabung pahlawan ini tidak mengira masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tabung Hari Pahlawan Tahun 2022 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri di sini, 12 Ogos lalu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam; Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau menyeru kepada semua untuk bersama membalas budi khidmat mereka (pahlawan) yang telah berkorban nyawa dengan menghulurkan sumbangan sebagai penghargaan kepada pengorbanan mereka.

“Berikan penghormatan kepada semua pejuang kemerdekaan tanah air yang bermati-matian berkorban jiwa dan raga termasuk para perajurit, anggota pasukan keselamatan negara demi memastikan kita dapat hidup aman sejahtera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1944
Kongsi :
Previous post Elak pembaziran, utamakan program beri manfaat kepada rakyat – KM
Next post Konvoi 100 motosikal bawa mesej merdeka
Ubah saiz-+=