Penjawat awam perlu terus cakna aduan rakyat – KM
SERI NEGERI 12 Ogos – Penjawat awam perlu akur dan sentiasa bersedia menerima segala pandangan serta aduan rakyat kerana ia perkara biasa dalam melaksanakan tanggungjawab perkhidmatan awam.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, biarpun penjawat awam terpaksa berdepan dengan pelbagai aduan namun ia adalah cabaran untuk terus memastikan kelestarian rakyat di negeri ini terjamin.
“Walaupun, kita berhadapan dengan pelbagai aduan ataupun inisiatif yang mahu dilakukan oleh masyarakat, namun kita perlu akur dan sentiasa bersedia menerima segala pandangan ini kerana ia perkara biasa dalam sistem kita.
“Pentingnya, bagaimana kita menguruskan aduan-aduan tersebut adalah satu cabaran buat penjawat awam.
“Ini bagi memastikan penjawat awam dapat memperkasakan kualiti dan sistem prosedur kerja untuk menyelesaikan segala permasalahan agar dapat mencapai sasaran-sasaran yang diharapkan orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Pelancaran Tabung Hari Pahlawan Tahun 2022 Peringkat Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam; Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.