Raja Gunung Melaka mahu tawan Everest kali keempat

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 10 Ogos – Pendaki tertua Malaysia James Lee Chong Meng, 74, sudah tiga kali mendaki Gunung Everest, Nepal kini sedang melakukan persiapan untuk menawan puncak tertinggi dunia itu buat kali keempat, Mei tahun hadapan.

Dia berasal dari Negeri Sembilan, namun kini menetap di Melaka berkata, kejayaan menawan puncak tertinggi dunia itu pada 2016, 2017 dan 2018 semuanya dilakukan pada bulan Mei.

Katanya, dia memilih melakukan pendakian pada bulan Mei berikutan musim panas yang amat sesuai untuk menawan gunung dengan ketinggian 8,849 meter itu yang bersalji.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah kilang di China ketika bermastautin di negara itu selama 11 tahun menyifatkan kemampuan mengekalkan stamina pada usia emas adalah hasil daripada amalannya yang gemar bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat sejak muda.

Mula serius mendaki pada usia 40 tahun ramai bertanya mengenai resepi untuk kekalkan stamina yang baik, baginya prinsip diamalkan adalah menjauhi ‘5 Putih’ iaitu elakkan makanan berwarna putih seperti gula, gandum, beras, garam dan krim.

“Selain itu saya juga gemar mencabar diri dan setakat ini sudah mendaki lebih 100 gunung dengan ketinggian lebih 3,000 meter daripada paras laut. Gunung-gunung seperti di China, Jepun, India, Thailand, Vietnam dan Indonesia boleh kata semua sudah berjaya saya tawan.

“Gunung di Semenanjung Malaysia, bagi saya majoriti berada bawah paras 3,000 meter, jadi tidak terlalu mencabar, ambil masa satu atau setengah hari saja untuk sampai ke puncak.

“Namun kekangan akibat COVID-19 perancangan untuk menawan semua gunung di negara ini terbantut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Kursus Asas Malim Gunung Perhutanan (MGP) Peringkat Negeri Melaka, di sini, semalam.

LEE menunjukkan sijil Kursus Asas Malim Gunung Perhutanan yang diterimanya pada Majlis Penutup kursus tersebut, semalam

Berkongsi pengalamannya, Lee pernah mengalami sesak nafas ketika mendaki gunung Everest pada 2017 dan terpaksa dikejarkan ke hospital di Nepal.

Katanya, perkara sedemikian adalah kebiasaan menimpa pendaki ketika berada di paras ketinggian itu berikutan udara semakin nipis.

“Saya pernah mengalami sesak nafas yang teruk dan beberapa pengalaman yang pahit namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk menawan gunung Everest kali keempat pada bulan Mei tahun hadapan.

Setakat ini dia menerima tajaan berjumlah RM 200,000 untuk mendaki gunung Everest dan kesemua tiga kali ekspedisi pendakiannya sebelum ini turut ditaja.

“Untuk mendaki gunung Everest, sekurang-kurangnya memerlukan saya berada di sana dua bulan awal untuk sesi latihan.

“Mana mampu untuk keluarkan duit ratusan ribu, permit mendaki sahaja USD11,000 (RM49,000) dan insurans untuk warga emas macam saya ini sahaja mencecah USD7,000 (RM31,199) untuk tempoh dua bulan,” ujarnya lagi.

Kini dia, menjadi jurulatih kepada pendaki-pendaki untuk menawan gunung lebih 2,000 meter dan jurulatih senaman kecergasan berbayar.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2501
Kongsi :
Previous post ‘Cara baharu’ Mat lebih cepat
Next post Luluh hati lihat rumah dibadai ribut
Ubah saiz-+=