ATM pertingkatkan keberadaan anggota dan aset di Sarawak
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perancangan itu adalah untuk meningkatkan keupayaan pertahanan, sekali gus memastikan kepentingan strategik negara di perairan Sarawak terus terpelihara daripada sebarang ancaman.
“Demi memastikan usaha memelihara kedaulatan perairan di Sarawak dapat dilaksanakan secara lebih holistik, Markas Wilayah Laut Timur (MAWILLA) 4 dirancang dibina secara berfasa menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
Sementara itu, Hishammuddin berkata pada ketika ini anggota dan aset Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya Rejimen Sempadan (RS) sedang diatur gerak agar ia mencukupi dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Ini melibatkan keberadaan dan siap siaga di sempadan Sarawak-Kalimantan serta Sarawak-Brunei, termasuk menambah 12 Pos Imbangan baharu, lebih-lebih lagi mengambil kira perancangan Kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan kelak.
“Perkara ini juga akan dibincangkan secara terperinci bersama rakan sejawat saya Menteri Pertahanan Republik Indonesia Prabowo Subianto semasa mempengerusikan bersama Mesyuarat ke-42 General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) di Kuala Lumpur minggu depan,” katanya.
–BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.