MOTAC sokong perlindungan warisan negeri
BANDA HILIR 6 Ogos – Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) akan menyokong segala usaha semua negeri dalam melindungi warisan, selari dengan asar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang dilancarkan Perdana Menteri 26 Oktober tahun lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Santhara J.P berkata, penubuhan Galeri Warisan Kota Melaka dan penerbitan Buku Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) antara contoh inisiatif yang bertepatan dengan dasar tersebut melalui Teras 3, Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan Budaya serta Teras 4, Pembangunan dan Pengembangan Budaya.
Katanya lagi, dalam menetapkan hala tuju menjadikan Malaysia sebagai Negara Maju Rakyat Berbudaya bersandarkan pendekatan budaya nilai tinggi, apa jua bentuk pemeliharaan warisan sangat membantu kerajaan merealisasikan hasrat tersebut.
“Saya difahamkan, bangunan Galeri Warisan Kota Melaka dibina di atas sebahagian jajaran tembok Kota Melaka yang pernah menjadi tembok pertahanan Kota Melaka pada suatu ketika dahulu.
“Sejarah kegemilangan Kota Melaka dizahirkan melalui segmen-segmen pameran di dalam galeri ini, hasil daripada penyelidikan dan ekskavasi arkeologi yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Warisan Negara, dengan kerjasama kerajaan Negeri Melaka dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak 2007.
“Selain itu, usaha menerbitkan buku WAKOH yang dilaksanakan oleh Jabatan Warisan Negara juga merupakan satu bentuk pemeliharaan warisan.
“Sehingga tahun 2018, sejumlah 27 orang tokoh daripada pelbagai bidang seni budaya telah diisytihar sebagai Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) dibawah Akta 645,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Warisan Kota Melaka dan Pelancaran Buku Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) di Jalan Kota, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.