Koperasi antara kaedah boleh digunakan kerajaan perangi orang tengah – Annuar
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) berkata langkah tersebut akan ‘memotong’ beberapa rantaian daripada pengeluar kepada peruncit yang menyebabkan harga barang meningkat.
“Maknanya ada kaedah secara langsung daripada pengeluar, pembungkus macam yang diberikan kepada koperasi, mereka dibenarkan import gula, mereka akan dibenarkan untuk buat pembungkusan kepada peket kecil dan mereka boleh terus mengedar sebagai peruncit melalui rangkaian kedai-kedai koperasi.
“Dan mereka (koperasi) juga memberi jaminan harga antara 15 ke 20 peratus lebih rendah daripada harga sekarang. Ini antara langkah yang akan kita mula laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barangan di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Annuar mengulas mengenai saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengembalikan usaha jihad memerangi orang tengah yang pernah dilaksanakan lapan tahun lepas.
Perdana Menteri dilaporkan berkata jihad itu perlu diteruskan menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan dengan kerjasama agensi di bawah MAFI seperti mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah-buahan, penambahan pasar tani dan pasar nelayan.
Dalam pada itu, Annuar berkata beliau berpuas hati apabila terdapat pasar raya mula menurunkan harga minyak sawit dalam botol walaupun penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi mula berkuat kuasa, Isnin ini.
“Kita tahu pasar raya seperti Mydin, sudah mula menjual minyak masak dalam botol seberat 5 kilogram (kg) pada harga RM32.70, dan itu satu langkah yang baik, yang saya harap rantaian kedai-kedai lain akan dapat melakukan tindakan yang sama.
“Tak semestinya tunggu 8 Ogos, sebab kita tahu sebahagian daripada stok itu ada juga yang dibeli waktu harga murah, dan saya tak nafikan ada yang dibeli pada waktu harga mahal.
“Tetapi benchmark (tanda aras) RM34.70 telah mengambil kira dua perkara iaitu ‘harga purata’ pada Julai dan sejumlah premium yang telah ditokok pada harga itu,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.