Belum ada tarikh tarik balik sekatan eksport ayam – Nanta
Beliau berkata sebagai sebuah industri yang besar sebarang keputusan mengenai perkara itu perlu pertimbangan semua pihak.
“Perkara ini telah dibincangkan di peringkat Kabinet sebelum ini… Sebarang keputusan mengenai perkara ini akan diumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta kementerian berkaitan,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke pameran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Sarawak di sini hari ini, Nanta berkata buat masa ini bekalan ayam di peringkat domestik berada pada paras mencukupi.
“Kita difahamkan untuk ayam ada lebihan bekalan, walaupun ada harga maksimum kita dapati ayam dijual jauh lebih rendah daripada harga tersebut (maksimum) di banyak tempat,” katanya.
Pada 4 Ogos lepas, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata sekatan pengeksportan ayam pedaging hidup yang masih berkuat kuasa adalah bersifat sementara, iaitu sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil sepenuhnya.
Ronald berkata kerajaan juga sedar peningkatan kos pengeluaran ayam berikutan kenaikan kos makanan ternakan dan pemberhentian eksport memberi kesan kepada pulangan penternak.
Kerajaan turut bersetuju memberi subsidi kepada penternak ayam pedaging dan ayam penelur berjumlah RM1.1 bilion secara keseluruhannya bagi meringankan beban penternak ayam, menurut Ronald.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.