Kembara Riuh Keluarga Malaysia edisi ke-3 bermula di Melaka hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

MELAKA, 5 Ogos – Kembara Riuh Keluarga Malaysia edisi ke-3, yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Pahlawan di sini, membuka tirainya pada pukul 4 petang hari ini.

Bakal dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada pukul 8.30 malam ini, program itu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa.

Karnival dikenali ‘Riuh Nau!’ itu bertujuan mempromosi dan mengetengahkan industri kreatif hasil kerja artis tempatan dalam usaha memulihkan industri kreatif negara susulan pandemik Covid-19.

Program anjuran MyCreative, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) itu, menjadi cerminan keprihatinan dan komitmen kerajaan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang merancakkan kembali sektor berkenaan.

Karnival terbabit akan menempatkan pentas utama, gerai pop-up, peniaga makanan dan minuman, pameran seni, aktiviti kreatif dan pameran daripada agensi-agensi di bawah K-KOMM.

Selain itu, turut diadakan bengkel pembuatan tembikar dan jubin, bengkel membuat pemegang kad kulit, demonstrasi kasut manik peranakan, bengkel kayu guna semua dan bengkel serta demontrasi gasing.

Pameran seni oleh Melaka In Fact pula akan memaparkan pameran bertemakan ‘outdoor’ yang mempamerkan sejarah Melaka sebagai bandar perdagangan selain seni mural komuniti di mana pengunjung dapat menghasilkan definisi ‘muka’ bagi mereka.

Tayangan filem Rozanna Cinta ’87 turut diadakan di Muzium Cheng Ho di Jonker Street selain persembahan artis terkenal tanah air secara konsert mini seperti Amy Search, Ruffedge, Merakki, Monoloque dan 1 Drum.

Kembara Riuh Keluarga Malaysia itu, yang menghimpunkan usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan, dijangka mampu mewujudkan sekurang-kurangnya 7,000 peluang pekerjaan di 14 lokasi di seluruh negara selain menyokong lebih 5,000 perniagaan tempatan.

Ia juga selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan sumbangan industri kreatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sebanyak 20 peratus dengan anggaran RM31 bilion menjelang 2025.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1961
Kongsi :
Previous post Anggota GGK perlu kekalkan kekuatan fizikal, bersatu hati – Sultan Johor
Next post SRA JAIM Al-Ikhlas miliki bangunan sendiri
Ubah saiz-+=