Tetapkan tempoh tinggal etnik Rohingya di Malaysia – ADUN
DUYONG 4 Ogos – Kerajaan perlu menetapkan satu tempoh masa bagi etnik Rohingya yang menetap di Malaysia supaya mereka tidak menyalahgunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata ia berikutan tingkah laku warga asing berkenaan ketika ini sering menimbulkan kerisauan kepada penduduk tempatan khususnya di negeri ini.
“Saya rasa mereka (warga Rohingya) ini tidak boleh dibiarkan duduk di Malaysia selamanya, kerajaan kena memutuskan sama ada menghantar mereka pulang ke atau membuat satu tempoh masa untuk tinggal di Malaysia.
“Perlu ada sempadan masa untuk mereka contohnya lima tahun, selepas lima tahun hantar semula mereka balik kampung, saya rasa sudah cukup kita kasihankan mereka selama ini.
“Cuba tengok di Melaka, dahulu yang datang mungkin seorang dua.. tetapi bila ada yang dah berkahwin dan beranak pihak sekarang banyak kawasan dah jadi penempatan mereka.
“Di Semabok sahaja ada dua kawasan didiami mereka yang mana satu di Jalan Pulau Senang 3 dan Jalan Bunga Raya 4, dua kawasan ini sahaja ada beratus orang warga asing ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Ujarnya, jika dibiarkan etnik itu terus menetap di Malaysia, dikhuatiri perkara-perkara tidak diingini akan menimpa penduduk tetap di negeri ini.
“Sekarang ini mereka dah buat tempat tinggal mereka itu seolah kawasan penempatan sendiri, itu belum lagi lihat tingkah laku mereka yang sering bergaduh bersenjatakan parang, mabuk, berniaga tanpa lesen.
“Penduduk tempatan yang tinggal di kawasan itu pun rasa tidak selesa dan risau akan keselamatan, ada yang kadang-kadang duduk melepak sampai jam 2 pagi, buat bising hingga menggangu ketenteraman penduduk,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy meminta supaya kerajaan negeri bersama pihak terlibat juga mengambil serius berkenaan isu ini bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.
“Kita lihat seolah-oleh penguatkuasaan hari ini semakin longgar kepada mereka, bila kita buat serbuan semua tunjuk kad UNHCR itu untuk lepaskan diri.
“Jangan disebabkan atas ihsan dan simpati kita sebelum ini, mereka akhirnya terlupa yang mereka dibantu hanya untuk meneruskan kehidupan bukannya menunjukkan kuasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.