Sorting by

×

TAPS, dijangka selesaikan dilema masalah air

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER LIMAU – Masalah tekanan air di beberapa lokasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, berlarutan sejak belasan tahun lalu dijangka diselesaikan selepas projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Jerneh siap sepenuhnya menjelang Disember 2024.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, projek berkenaan dimulakan 7 Jun lalu selepas diluluskan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, TAPS yang menelan belanja sebanyak RM124 juta termasuk kos pengambilan 187 lot tanah sekitar Sungai Jerneh.

“Skop projek ini melibatkan pembinaan empangan untuk simpanan air mentah daripada Sungai Rembau, Negeri Sembilan berkapasiti 14,000 juta liter.

“Projek ini membabitkan pembinaan stesen muka sauk, bagi mengalihkan air mentah dari Sungai Rembau dan mengepamnya melalui paip saluran air mentah sepanjang 5.2 kilometer ke empangan Jerneh,” katanya.

Hameed berkata, projek Pembinaan TAPS Jerneh, dahulunya dikenali sebagai Pembinaan Empangan Jerneh dirancang sejak tahun 2004 dan diluluskan dibawah ‘Rolling Plan 3’, Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Menurutnya, kemudahan itu apabila beroperasi kelak mampu menampung keperluan pertambahan penduduk di Melaka sehingga tahun 2030 dan mengurangkan kebergantungan sumber air mentah dari Johor.

“Hampir berbelas tahun beberapa kawasan di Ayer Limau berdepan masalah air, terutama pada musim perayaan berikutan tekanan rendah.

“Lebih serius ada sesetengah lokasi tidak mendapat bekalan air pada musim berkenaan. Alhamdulillah projek ini telah dimulakan sudah pastinya meningkatkan kualiti bekalan air,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2325
Kongsi :
Previous post Awie mahu konvoi kempen anti-scam ke Sabah Sarawak
Next post Sukan Komanwel: Badminton berpasukan campuran tebus emas
Ubah saiz-+=