LPNM agensi pertanian pertama perkenal chatbot – Ahmad Hamzah

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

PUTRAJAYA, 2 Ogos – Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menjadi agensi pertanian pertama memperkenalkan aplikasi sembang interaktif chatbot, Nanas Intelligence Advisor (NIA), sebagai medium komunikasi dua hala bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat tepat berkaitan industri nanas di Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata inisiatif itu akan menjadi contoh kepada agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk memanfaatkan internet benda (IoT) selaras perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Saya berpeluang mencuba sendiri NIA, dari aplikasi ini, saya dapat pelbagai maklumat berkaitan nanas di hujung jari sahaja.

“Saya yakin NIA dapat dimanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat khususnya generasi muda yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang agromakanan. Tahniah saya ucapkan kepada LPNM atas inisiatif ini,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan NIA di Laman Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAFI, di sini hari ini.

NIA merupakan ciri Kecerdasan Buatan (AI) yang berfungsi merangsang perbualan manusia menerusi teks. NIA boleh diakses menerusi aplikasi Whatsapp di talian +6011-1086 8700

Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh menyifatkan NIA sebagai aplikasi yang mudah diakses, mesra pengguna, praktikal dan boleh dihubungi sepanjang masa untuk maklum balas yang pantas kepada pengguna.

Katanya NIA dapat melayan 500 pertanyaan dalam satu masa berhubung penanaman nanas, pemasaran, bantuan serta aktiviti LPNM.

“Kita akan pastikan sistem NIA ini sentiasa dikemas kini dengan maklumat terkini berhubung industri nanas supaya ia dapat memberikan maklumat tepat kepada pengguna,” katanya.

Ketua Unit Pengurusan Maklumat LPNM Mohd Haironizam Suli berkata NIA mula dibangunkan pada April lepas selaras usaha mentransformasi sektor penanaman nanas dalam era IR4.0.

“Kita ada 12 content writer dan empat orang di bahagian pembangunan maklumat untuk kendalikan NIA,” katanya.

Berkongsi keistimewaan NIA, Mohd Haironizam berkata NIA mampu mengkaji soalan untuk disesuaikan dengan jawapan berdasarkan maklumat terkini yang dimuat naik ke dalam sistem bagi memastikan NIA dapat menyediakan maklumat yang menepati keperluan pengguna.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1561
Kongsi :
Previous post Kerajaan lulus 99 projek R&D, C&I bernilai RM5.6 bln 2021-2022
Next post Dua kanak-kanak maut dicampak dari jejambat setinggi 20 meter
Ubah saiz-+=