Sorting by

×

Ibu ‘pergi’ sewaktu terima keputusan cemerlang SPM

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

REMBIA 1 Ogos – “Pada hari keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya keluar, saya terus ke hospital sebab nak tunjukkan keputusan cemerlang itu pada ibu, namun ibu sudah tidak sedarkan diri akibat jangkitan kuman dalam darah dan pergi selamanya,” luah pelajar cemerlang SPM 2021, Nurul Nabilah Mohd Hazizan.

Nurul Nabilah merupakan antara 290 pelajar cemerlang yang menerima pengiktirafan kerajaan negeri menerusi Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Kerajaan Negeri Melaka 2021 di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, di sini hari ini.

Menurut, Nur Nabilah walaupun sedih kehilangan insan tersayang, namun pesanan terakhir ibunya menjadi azimat pembakar semangat untuknya bergelar seorang doktor perubatan suatu hari nanti.

“Saya belajar bersungguh-sungguh sebab memang nak banggakan mak sahaja, jadi saya memang sedih kerana tidak sempat berkongsi kejayaan itu.

“Tetapi saya akan ingat pesanan ibu. Arwah ibu hanya pesan saya satu saja, ‘Nabilah, awak kena jadi doktor’,” katanya.

Bagi memenuhi hasrat itu, Nabilah kini sedang menunggu permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke bidang Asasi Perubatan di Universiti Malaya (UM).

Bercakap tentang rahsia kejayaannya, pelajar Sekolah Tinggi Perempuan Melaka itu berkata, kurang bermain telefon bimbit dan solat lima waktu menjadi kunci kejayaannya.

“Rahsia saya, sebagai orang Islam kita jangan tinggal Solat Sunat, membaca Al Quran dan solat fardhu, selain itu kita jangan sesekali lawan cakap ibu dan ayah dan menjauhkan diri daripada telefon bimbit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1803
Kongsi :
Previous post Rohana terpilih di bawah Program Anak Emas UTeM
Next post Harga maksimum minyak botol RM34.70 bermula 8 Ogos – Annuar
Ubah saiz-+=