Sorting by

×

Melaka tambah peruntukan untuk pembangunan sekolah – KM

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

REMBIA 1 Ogos – Kerajaan negeri memperuntukkan tambahan RM300,000 sekali gus menggenapkan peruntukan sebanyak RM1 juta akan diagihkan bagi tujuan pembangunan kecemerlangan di semua sekolah di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, peruntukan yang sebelum ini diumumkan hanya RM700,000 pada pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka lalu ditambah dan akan mula diagihkan pada bulan ini juga.

Beliau berharap dana yang diperuntukkan itu mampu membentuk kemenjadian pelajar dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

“Disebabkan kecemerlangan pendidikan sekolah Melaka dilihat meningkat dan sebagai usaha bagi menggalakkan lagi kecemerlangan ini kita tambahkan RM300,000 menggenapkan sebanyak RM1juta disalurkan kepada seluruh sekolah-sekolah dan ini mesti diselesaikan dalam bulan ini sebelum penghujung 31 Ogos.

“Pendidikan adalah agenda utama kita di Melaka dan untuk tingkatkan kecemerlangan pelajar jadi peruntukan yang diberikan di sekolah ini boleh dijadikan sebagai sumber pembangunan pelajar termasuk mengadakan tuisyen sekolah dan sebagainya.

“Harapan saya agar ia selari dengan hasrat kita menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan selari dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ 2035) yang mahukan negeri ini setanding dengan negeri lain dan juga negara serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Kerajaan Negeri Melaka 2021 di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu,Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri; Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem dan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Adun Kuala Linggi Rosli Abdullah, Adun Durian Tunggal Zahari Abd Kalil; Adun Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) Datuk Mustafa Musa, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka Rosni Leman, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud, Pemangku Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka Ahmad Khairuman Md.Hashim serta tetamu lain.

Terdahulu pada program itu, seramai 290 pelajar cemerlang dengan pecahan seramai 27 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 263 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 telah menerima sijil anugerah dan wang tunai yang disampaikan Sulaiman.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berbesar hati berpeluang bertemu dengan anak-anak yang cemerlang hingga terpilih menerima ini

“Besarlah harapan saya agar kecemerlangan yang dicapai ini tidak hanya terhenti di sini, sebaliknya anak-anak perlu meneruskan kecemerlangan sehingga ke menara gading dan berjaya dalam kehidupan nanti,” tambah Sulaiman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1429
Kongsi :
Previous post 17 sekolah terima sumbangan komputer riba
Next post Adik Ainul Mardhiah dilaporkan tenat
Ubah saiz-+=