RM1 juta martabat seni silat di persada dunia
AYER KEROH 31 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dana sebayak RM1 juta kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).
Katanya, dana itu adalah sebagai tanda menghargai anak-anak silat selain membantu Pesaka mengembangkan seni
silat di persada dunia.
“Syabas saya ucapkan kepada Pesaka atas komitmen dan kesungguhan menganjurkan acara bertaraf dunia dan meletakkan martabat seni silat ke satu tahap lebih tinggi.
“Terima kasih kepada Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) yang memberi kepercayaan dan pengiktirafan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah pada kejohanan kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 Tahun 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, malam ini.
Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Presiden Federasi Pencak Silat Dunia (Persilat) merangkap Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Datuk Seri Prabowo Subianto; Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta tetamu lain.
“Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada pesilat-pesilat dari seluruh negara yang bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan.
“Malaysia berbangga dan berbesar hati kerana dapat menganjurkan pertandingan sukan bertaraf dunia dan berharap lebih banyak lagi acara sukan berprestij seumpama ini, dapat dianjurkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.