Nazam bentuk jati diri belia
BUKIT PALAH 31 Julai – Pertandingan nazam bukan setakat bertujuan untuk mencungkil bakat dalam kalangan peserta, sebaliknya membina jati diri generasi muda.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhamamd Jailani Khamis berkata, pertandingan nazam juga mampu menarik minat orang ramai untuk bersama-sama menghayati seni Melayu itu yang hampir kini kurang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
“Nazam sentiasa dikaitkan dengan Islam dan Melayu khususnya di Melaka.
“Saya khuatir pada era ini kita tiada adat, warisan Melayu mati atau ditinggalkan begitu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, pada Pertandingan Nazam Sempena Sambutan Maal Hijrah dan Ekspo Tamadun Islam Peringkat Negeri Melaka di Dataran Pusat Islam di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Shukri Che Mat; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abg Skokeran dan Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (Inswa), Nurman Mohd Baroldin.
Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berharap pertandingan tersebut akan diteruskan pada masa akan datang.
“Alhamdulillah kita masih lagi mendapat sambutan yang baik, kita akan pastikan tahun depan hadiah yang diberikan lebih besar.
“Kali ini sahaja seramai 653 peserta mengambil bahagian, mereka ini adalah dalam kalangan 16 kumpulan pelajar sekolah rendah, 19 kumpulan sekolah menengah dan sembilan kategori terbuka,” katanya.
Pada pertandingan itu johan bagi kategori terbuka dimenangi kumpulan Sabib Abrar, johan kategori sekolah menengah milik kumpulan Zahratul Iman manakala sekolah rendah dimenangi kumpulan Ikhwan Nunnajah.
Johan bagi kategori terbuka menerima wang tunai RM5,000, plak beserta sijil penghargaan, diikuti sekolah menengah wang tunai RM3,500, plak beserta sijil penghargaan dan johan sekolah rendah membawa wang tunai RM2,500, plak beserta sijil penghargaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.