Melaka Berselawat bakal jadi program bulanan di Seri Bendahara

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 27 Sept. – Program Melaka Berselawat bakal menjadi acara bulanan pada setiap hujung bulan di kediaman rasmi Ketua Menteri, Seri Bendahara bermula bulan ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, objektif utama penganjuran berkenaan adalah bertujuan untuk memperingati Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW disamping menghidupkan semula Dewan Seri Bendahara dengan aktiviti-aktiviti keagamaan.

Jelasnya, program itu bakal menjadi acara terbaharu di Seri Bendahara selepas berjaya menganjurkan acara mingguan majlis bacaan Yassin pada setiap hari Khamis malam Jumaat.

“Inisiatif pelaksanaan Program Melaka Berselawat ini merupakan salah satu usaha untuk menggalakkan umat Islam Negeri Melaka berselawat sambil memperingati pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam memperjuangkan agama Islam di samping mendoakan kesejahteraan baginda Nabi SAW.

“Saya yakin dan pasti, Insyaallah, dengan adanya program keagamaan sebegini, Negeri Melaka dapat kembali menjadi serambi Makkah yang pada ketika dahulu dikenali sebagai pusat penyebaran Islam.

“Saya juga berharap, penganjuran program ini mampu mendekatkan saya bersama rakyat Melaka serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang baik,” katanya.

Tambah Sulaiman, penganjuran program berkenaan juga adalah bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang akan disambut tidak lama lagi pada Oktober depan.

Selaras dengan itu, pihak kerajaan negeri akan merangka sebuah program yang diberi nama Melaka Berselawat Peringkat Perdana yang akan diadakan pada 31 Oktober depan.

“Insyaallah ia bakal melibatkan hampir 1,000 orang yang juga akan diadakan di Seri Bendahara.

“Lebih menarik lagi, Program Melaka Berselawat Perdana ini juga akan turut dihadiri oleh pendakwah tersohor iaitu Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar bin Salim bin Hadi bin Salim Al Hamid bin Sheikh Abu Bakar,” katanya lagi.

Views:

620
Kongsi :
Previous post Seri Bendahara bergema alunan selawat
Next post Melaka sedia bangunkan semula ‘masjid tertua’ negara
Ubah saiz-+=