Kebun kerang Melaka miliki potensi besar

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

MERLIMAU 30 Julai – Melaka bakal menjadi antara pengeluar kerang di negara ini apabila kebun kerang yang diusahakan akan menghasilkan pendaratan 1,600 metrik tan pada penghujung tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, Jabatan Perikanan mengenal pasti kawasan seluas 330 hektar untuk diusahakan sebagai kebun kerang di sepanjang perairan Merlimau hingga ke Sebatu yang dikenal pasti sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA).

Beliau berkata, pada permulaan ini sebanyak tiga lot dengan setiap satunya seluas 21 hektar diletakkan benih kerang sebelum diperluaskan kepada 16 lot kesemuanya.

“Kerang sedia ada memang ada tetapi tidak banyak anggaran 7.5 tan. Unjuran kita nanti apabila kesemua 16 lot diusahakan, pada hujung 2023 nanti kita akan berupaya keluar 1,600 metrik tan dengan nilai anggaran kira-kira RM10.6 juta.

“Matlamat kita untuk jadi satu daripada pengeluar kerang di Malaysia dan kawasan ini dilihat amat bersesuaian berdasarkan beberapa faktor antaranya tanah yang berlumpur selain dikatakan kerang di sini mempunyai kepadatan isi yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Perasmian Pelancaran Kebun Kerang Melaka yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perikanan Melaka Mohd Fauzi Salehon, di Jeti Merlimau, di sini, hari ini.

MERLIMAU 30 Julai – Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah melihat pongkes kerang yang dijadikan alat untuk mengambil kerang sempena Program Pelancaran Kebun Kerang di Perairan Negeri Melaka di Jeti Kuala Merlimau. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya, bagaimanapun penilaian sama ada kebun kerang itu akan diperluaskan akan dibuat selepas empat bulan apabila benih kerang yang ada kini matang.

“Empat bulan dari sekarang kita akan buat pemeriksaan dan kajian keatas tiga lot ini kalau ada kesesuaian kita akan teruskan dan nelayan yang sertai akan mendapat pendapatan tambahan.

“Pada peringkat ini hanya 30 nelayan yang terbabit malah bilangan itu akan bertambah kepada 330 peserta apabila diperluaskan nanti selain unjuran kita mereka akan mendapat pendapatan tambahan antara RM2,600 hingga RM3,500 sebulan,” katanya.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, Di Melaka kerang dewasa bersaiz 25 milimeter (mm) dijual secara borong dengan harga antara RM10 hingga RM12 sekilogram manakala bersaiz 25mm ke atas pula dijual dengan harga RM14 hingga RM16.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2050
Kongsi :
Previous post Hijrah minda ke arah lebih baik – KM
Next post Harga siling ayam mentah dijangka tamat – KPDNHEP
Ubah saiz-+=