Pemenang pingat emas Olimpik Filipina Diaz pilih jurulatih sebagai suami
MELAKA, 28 Julai – Genap setahun merangkul pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, atlet angkat berat Filipina Hidliyn Diaz menamatkan zaman bujangnya apabila melangsungkan perkahwinan dengan jurulatihnya dari Guam Julius Irvin T. Naranjo.
Bapa angkatnya yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Ahmad Janius Abdullah berkata Diaz melangsungkan perkahwinan itu pada Selasa lepas (26 Julai) di Baguio City, Manila, Filipina.
“Tarikh tersebut dipilih pasangan itu kerana ia genap setahun Diaz melakar sejarah tersendiri dengan menyumbang pingat emas pertama Filipina di temasya Sukan Olimpik.
“Majlis itu diadakan secara tertutup di sebuah pusat peranginan tanah tinggi Baguio City namun berlangsung meriah dengan dihadiri sanak saudara dan rakan-rakan terdekat,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.
Beliau yang turut menghadiri majlis tersebut, berkata pasangan itu sudah lama merancang mendirikan rumah tangga namun Diaz menunggu 26 Julai itu kerana dianggap tarikh keramat buatnya.
“Diaz memberitahu walaupun sudah berkahwin suaminya tidak menghalang beliau meneruskan karier dan menyertai kejohanan selepas ini,” katanya.
Tambah Ahmad Janius pasangan itu bercadang mengadakan majlis resepsi di Kampung Kesang Tua, Jasin, di sini pada September ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Diaz akan kembali menjalani latihan dengan dibantu suaminya dalam menghadapi Kejohanan Dunia dan kelayakan Sukan Olimpik di Colombia pada Disember ini.
Jaguh angkat berat dari Filipina itu sebelum ini mencuri tumpuan di Tokyo apabila mendedahkan beliau hanya berlatih di parkir kereta milik Ahmad Janius di Kampung Kesang Tua sebagai persiapan ke Sukan Olimpik.
Diaz menjalani latihan di situ selepas terkandas di Malaysia sejak Februari 2020 apabila pintu masuk negara ditutup untuk semua penerbangan keluar dan masuk ekoran pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.