AHM galak pembudayaan teknologi hijau
LENDU 28 Julai – Anugerah Hijau Melaka (AHM) akan dianjurkan semula Disember ini, selepas dihentikan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.
Setakat ini 18 syarikat perumahan sudah mengesahkan penyertaan bagi merebut anugerah berkenaan dan dijangka meningkat menjelang tarikh tutup nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, penyertaan syarikat swasta bukan setakat mempamerkan keprihatinan terhadap usaha membudayakan teknologi hijau, malah sebahagian daripada strategi perniagaan masing-masing.
“Sekarang ramai memilih untuk tinggal di kawasan perumahan hijau yang jauh daripada pencemaran udara, air dan seumpamanya.
“Syarikat perumahan merangkul AHM nanti mampu menarik minat lebih ramai pembeli rumah dan perkembangan ini amat menggembirakan kerajaan negeri yang sudah berusaha memajukan teknologi hijau sejak 2013,” katanya.
Beliau berkata, demikian selepas merasmikan program Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi Hijau Dalam Kalangan Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Hang Kasturi (SMKHK), di sini, hari ini.
Hadir sama, Penolong Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Siti Rohayu Isa dan Pengetua SMKHK, Norfa’iza Mustafa.
Abu Bakar berkata, antara kategori ditawarkan AHM adalah Pembudayaan Hijau, Projek Hijau, Produk Hijau, Inovasi Hijau, Komuniti Hijau dan Program Tanggungjawab Sosial Hijau.
“Pemenang akan membawa pulang wang tunai dan sijil bagi mengiktiraf sumbangan mereka. Penyertaan bagi setiap kategori dikenakan yuran RM600 manakala hadiah wang tunai bagi setiap kategori adalah antara RM1,000 hingga RM1,500,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.