Bukti kerajaan stabil -KM

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 27 Julai – Segala dakwaan dan desas-desus mengaitkan bakal berlaku undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini terbukti palsu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, dirinya sentiasa berlapang dada meskipun pelbagai tohmahan dan isu cuba dibangkitkan pihak tertentu yang tidak senang dengan kerajaan pada hari ini.

Katanya, rakyat pada hari ini lebih bijak menilai walau apa jua spekulasi yang cuba dibawa pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebelum ini saya sudah kata saya berlapang dada dan terima sahaja (jika ada usul undi tidak percaya). Kerana pada saya kerajaan sekarang ini bukan milik saya, ia milik Allah SWT.

“Allah SWT boleh beri kepada sesiapa sahaja dan memuliakan sesiapa sahaja dan pada masa sama boleh mencabut dan menghina sesiapa sahaja yang dikehendaki.

“Saya yakin, tiada siapa yang akan melakukan undi tidak percaya kepada saya kerana hubungan saya dengan kesemua Ahli Dewan begitu baik dan tidak pernah ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selesai Persidangan Ketiga Penggal Pertama DUN Melaka ke-15, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman bagaimanapun berharap isu sama tidak akan lagi dimainkan pihak tertentu setiap kali menjelang persidangan DUN.

“Saya tidak mahu tuduh sesiapa yang cuba bawakan isu itu, tetapi saya percaya rakyat di bawah mahukan kerajaan yang stabil dan kerajaan tiga per empat sekarang inilah kerajaan yang stabil,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

815
Kongsi :
Previous post Siasat punca guru tertekan dan murung – KM
Next post Gangguan elektrik libatkan 10 peratus keseluruhan permintaan bekalan – TNB
Ubah saiz-+=