ADUN Belia Melaka berperanan seperti wakil rakyat
SERI NEGERI 27 Julai – Fungsi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Melaka adalah untuk memberi pendedahan kepada generasi baharu yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan untuk menjadi wakil rakyat yang membela nasib rakyat setempat.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata kerajaan Melaka akan mewujudkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Melaka yang akan bertugas sebagai pegawai sokongan bagi membantu wakil rakyat sedia ada.
Katanya, cadangan yang akan dilaksanakan tahun ini, dijangka dapat membantu kerajaan negeri untuk merealisasikan pelaksanaan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035).
“Melaka adalah negeri ketiga mewujudkan ADUN Belia selepas Johor dan Perak dan kini kita sedang menyusun atur beberapa langkah menjelang pemilihan calon dalam kalangan belia, sebelum sesi pengundian dilaksanakan menerusi kaedah atas talian serta temuduga.
“Turut menjangkakan pengundian akan diadakan selewat-lewatnya hujung bulan Oktober ini dengan pencalonan dibuka kepada belia berusia 18 hingga 35 tahun yang berminat menjadi calon ADUN Belia.
“Tiada kuota atau had jumlah calon yang hendak bertanding, namun pemilihan calon adalah berdasarkan kepada komitmen serta peranan mereka dalam pertubuhan belia ketika ni,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Persidangan Ketiga Penggal Pertama DUN Melaka ke-15 di sini hari ini.
Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan Datuk Khaidirah Abu Zahar (BN-Rim) pada Persidangan Ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, Shanmugam berkata, ADUN Belia adalah perancangan pembangunan belia dan komprehensif yang bermatlamat untuk melahirkan golongan muda yang bersepadu dari segi spritual, psikologikal dan intelektual dengan fizikalnya berilmu dan berbudaya.
Katanya, kertas konsep pelaksanaan ADUN Belia masih diperingkat pemurnian yang akan mengguna pakai kaedah Parlimen Belia serta beberapa negeri yang sudah melaksanakannya.
“Kertas konsep ini dijangka dibawa ke mesyuarat Exco negeri untuk permohonan peruntukan dan kelulusan dijangka diperoleh pada pertengahan bulan Ogos depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.