Tentera darat kerjaya pilihan graduan politeknik
MERLIMAU 27 Julai – Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia berkongsi ilmu pengetahuan menjadi anggota Tentera Darat kepada pelajar Politeknik Merlimau (PMM) untuk memilih ia sebagai kerjaya di masa hadapan.
Pengarah PMM, Norizam Sekak berkata, ia sekali gus memberi ruang kepada Markas Tentera Darat bersama politeknik bagi merangka strategi pengambilan anggota tetap tentera darat jika terdapat kekosongan dengan gred bersesuaian para graduan.
“Ini merupakan usaha yang baik dalam menentukan laluan kerjaya baharu buat para graduan Politeknik Malaysia.
“Saya percaya sekiranya perbincangan dan laluan khas ini direalisasikan, sudah pasti kadar kebolehpasaran graduan politeknik akan meningkat sekali gus membantu negara dalam mengisi kekosongan Perjawatan Tentera Darat,” katanya selepas program di PMM, baru-baru ini.
Pada bengkel itu Pengarah Dasar & Pembangunan Markas Tentera Darat, Kolonel Mohamad Fazli Md Idris turut memberi penerangan terhadap kerjaya yang boleh diceburi graduan PMM.
Turut sama berkongsi maklumat ialah Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PMM, Zan Aizuwan Zainal Abidin dan pegawai Corporate, Industrial Services & Employability Centre (CISEC PMM), Gwee Chiou Chin bagi menerangkan mengenai perkembangan graduan PMM.
Pada sebelah petang, Pegawai Staf 1, Jabatan Arah & Infrantri Markas Tentera Darat Lt. Kol Kaharuddin Katan berkongsi mengenai pengetahuan umum tentang Kertas Putih Pertahanan dan Konsep Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) sebagai pengetahuan umum kepada warga kerja PMM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.