Pusat data terbesar dibangunkan di Ayer Keroh

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERI NEGERI 27 Julai – Ayer Keroh bakal dijadikan lokasi membangunkan pusat data dengan nilai pelaburan melebihi RM1 bilion, kata Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, lokasi seluas lebih lapan hektar itu bakal dibangunkan sebanyak tujuh kampus sekali gus menjadi pusat data kedua terbesar negara selepas Cyberjaya.

Katanya, Perjanjian Ketakdedahan (NDA) itu telah ditandatangani tiga bulan lalu bersama pelabur dari China yang mana mereka memilih Melaka disebabkan lokasinya yang strategik iaitu terletak di antara Johor dan Kuala Lumpur.

“Melaka menjadi satu pilihan strategik untuk syarikat ini mengembangkan pelaburan digital memandangkan Melaka juga mempunyai kabel dasar laut untuk rangkaian elektrik iaitu terletak di Pengkalan Balak.

“Jadi, sebab itu mereka memilih negeri ini dan akan membangunkan pusat data itu di Ayer Keroh di atas tanah seluas 20 ekar (8 hektar) milik sebuah syarikat persendirian.

“Buat masa ini, proses jual beli tanah sedang berjalan dan sebaik selesai sahaja, kelulusan memulakan kerja akan diberikan sebelum kita membuat pengumuman rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Persidangan Ketiga Penggal Pertama DUN Melaka ke-15 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, menerusi kewujudan pusat data terbesar selepas Cyberjaya di Melaka ia bakal memberi impak besar dalam dunia digital.

Katanya, menerusi pusat itu ia dapat mewujudkan pengkalan data yang dapat membantu pelbagai sektor bukan sahaja di negeri ini bahkan untuk negara secara keseluruhan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1061
Kongsi :
Previous post Kemenangan 4-1 Melaka United, bakar semangat untuk terus aksi cemerlang
Next post Pelancong Indonesia dan Singapura sasaran Melaka
Ubah saiz-+=