Groyne atasi hakisan serius pantai Tanjung Dahan
KUALA LINGGI 26 Sept. – Struktur benteng pemecah ombak atau ‘groyne’ dikenal pasti sebagai kaedah terbaik bagi mengatasi masalah hakisan pantai serius di Tanjung Dahan, di sini.
Sehubungan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sudah memuktamadkan pembinaan groyne sebagai kaedah paling sesuai bagi mengatasi hakisan pantai yang makin serius di kawasan berkenaan.
Selain groyne, penjagaan pantai melalui kaedah ‘soft rock’ akan turut diaplikasikan dalam kerja yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Pengarahnya Abdul Hakim Hamzah berkata, kedua-dua kaedah berkenaan diputuskan selepas beberapa pakar mengenai kaedah penjagaan pantai JPS dari Putrajaya menjalankan kajian di lokasi kejadian baru-baru ini.
“JPS sudah memperoleh peruntukan RM800,000 untuk menjalankan kedua-dua projek berkenaan dan tawaran sebut harga sudah dibuka dari 18 September lalu hingga kelmarin.
“Kerja akan dibuat tidak lama lagi dan kontraktor diberikan tempoh tertentu untuk
menyiapkan kerja berkenaan,” katanya melalui aplikasi WhatsApp hari ini.
Beliau berkata, tahun lalu JPS membina groyne sepanjang kira-kira 50 meter dari darat menganjur ke laut selepas pantai di perkampungan nelayan itu yang berhampiran dengan Akademi Laut Malaysia (ALAM) mengalami hakisan teruk.
Katanya, groyne yang bakal dibina tidak jauh dari groyne sedia ada mampu menahan ombak memukul pantai dan mengakibatkan hakisan serius, sekali gus membantu mengekalkan pantai di negeri ini daripada lenyap secara evolusi akibat hakisan.
Pantai Tanjung Dahan mengalami hakisan mulai akhir Jun lalu dan mencapai kemuncaknya pada awal bulan ini yang menyebabkan kira-kira 50 perahu nelayan tersadai di pantai kerana tidak dapat diturunkan ke laut akibat tebing pantai setinggi kira-kira 1.8 meter yang terbentuk selepas dihakis.
Ia menyebabkan kira-kira 100 nelayan tidak mampu turun ke laut mencari rezeki dan sesetengah mereka terpaksa membuat kerja lain seperti bertukang dan menjadi pengawal keselamatan.
Abdul Hakim menjelaskan, kerja pembinaan groyne dan ‘soft rock’ itu adalah kaedah pilihan selepas pilihan utama sebelum ini untuk membina tembok penghalang ombak atau ‘rock revetment’ sepanjang kira-kira 100 meter tidak dipersetujui nelayan
kerana ia menghalang perahu mereka diturunkan ke laut.
“JPS sentiasa prihatin terhadap aduan nelayan tetapi pada masa yang sama pantai yang mengalami hakisan harus dipulihara bagi membantu industri pelancongan dan petempatan nelayan di tepi pantai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta nelayan supaya bersabar menunggu kerja pembinaan groyne disiapkan dan mereka mampu meneruskan tugas hakiki mencari rezeki di laut.