“Tidak mengapa, sudah nasib kami begini”
KOTA LAKSAMANA 25 Sept – Penduduk Kampung Jawa, yang sebelum ini diarah mengosongkan kawasan penempatan mulai akur dengan arahan dikeluarkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Kassim Wi Abdullah, 60 meluahkan rasa sedih apabila melihat jengkaut meranapkan penempatan di kawasan kampung itu yang didudukinya berbelas tahun
Katanya, banyak kenangan dititip sepanjang tinggal di kawasan itu namun dia reda dengan ketentuan yang berlaku.
“Bagaimanapun, saya sudah mendapat kediaman baharu dan berpindah ke sebuah bilik di Pengkalan Rama, dekat sini.
“Tidak mengapa, sudah nasib kami begini, harap tiada lagi yang senasib dengan kami selepas ini,” katanya ketika ditemui di kawasan berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 23 keluarga yang hidup dalam keadaan daif di kampung berkenaan diarahkan untuk mengosongkan kawasan penempatan yang telah diduduki sejak 50 tahun lalu.
Keluarga berkenaan menerima notis pemindahan menerusi notis Bangunan Tidak Layak Dididuduki mengikut Seksyen 83(1) Akta 133 yang dikeluarkan MBMB daripada pemilik tanah.
Bagi Norina Osman, 57 dia turut menyuarakan rasa sama tatkala melihat bilik yang didiaminya sejak lebih 30 tahun lalu dirobohkan.
“Harap-harap episod duka kami berakhir selepas berpindah ke tempat baharu, cuma kami kena fikir kaedah lain untuk menampung kos sewa bulanan kerana bilik yang saya sewa sekarang RM200 sebulan, jauh berbeza dengan kos sewa bilik di Kampung, hanya sekitar RM70 hingga RM80 sahaja,” katanya.
Terdahulu, wakil syarikat yang memiliki tanah tersebut tampil menghulurkan wang sagu hati berjumlah RM200 hingga RM500 kepada 25 keluarga yang terlibat bagi mengurangkan beban yang ditanggung.
Bagaimanapun, mereka enggan membuat sebarang komen mengenai kedaifan penempatan tersebut sebelum ini yang didiami kira-kira 50 orang termasuk kanak-kanak.