Melaka cari pengganti Tiger Woods
KEJOHANAN Golf Junior Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Melaka (MSSNM) membawa 54 atlet muda bagi mencungkil serta mengasah bakat mereka hingga ke peringkat antarabangsa.
Pengerusi Ayer Keroh Country Club (AKCC), Datuk Rahmad Mariman berkata kejohanan selama dua hari bermula semalam dan hari ini itu mempertandingkan tiga kategori iaitu pemain berusia bawah 12, 15 dan 18 tahun.
“Setiap kategori kita pilih lima pemain terbaik dalam kalangan lelaki dan perempuan.
“Tujuan kejohanan ini untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain golf muda di Negeri Melaka, alhamdulillah penyertaan ini menunjukkan jumlah yang ramai.
“Insya-Allah mereka boleh menjadi atlet-atlet golf pada masa akan datang selain memastikan industri golf di Melaka sentiasa berkembang dan dikenali seluruh Malaysia dan dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Golf Junior MSSNM dan Pelancaran AKCC Junior Development Programme di Dewan Chenderawasih AKCC di sini, hari ini.
Hadir sama Pengurus Besar AKCC, Rizman Ghazali; Pemangku Presiden Kelab Golf Melaka, Datuk Wira A.S Khamis; Kapten Pasukan AKCC, Datuk Wira Soh Chin Ann dan lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Rahmad turut menzahirkan harapan agar kejohanan dan program yang dirangka AKCC dapat membantu melahirkan atlet golf bertaraf bintang di masa akan datang.
“Harapan saya supaya mereka suatu hari nanti menjadi pemain golf profesional, golf ini satu sukan peringkat dunia yang kita bawa ke peringkat dunia.
“Jadi kita sasarkan setiap kategori tersebut lima pemain muda akan dilahirkan, biasanya bakat bermain golf ini seawal usia tujuh tahun.
“Jika usia tujuh tahun ini biasanya ambil masa sehingga umur 12 tahun untuk berlatih, namun bergantung pada individu itu sendiri ada yang tiga ke enam bulan dah pandai,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.