Sorting by

×

Rayu percepatkan pembinaan balai bomba

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

ASAHAN 18 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan merayu kepada kerajaan negeri agar mempercepatkan pembinaan balai bomba baharu di kawasan itu.

Menurut beliau, pelaksanaan rancangan itu perlu disegerakan sebagai persiapan awal menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang tidak dijangka berlaku.

“Kita minta supaya kerajaan negeri dapat bantu percepatkan kelulusan pembinaan balai bomba baharu ini untuk DUN Asahan.

“Saya difahamkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sudah bersetuju untuk memasukkan rancangan pembinaan balai bomba baharu ini dalam pembentangan Bajet negeri tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) pada majlis penyampaian sumbangan Aidiladha kepada 200 penerima bagi Parlimen Alor Gajah baru-baru ini.

FAIRUL Nizam

Sebelum ini Fairul Nizam pernah menyuarakan permintaan yang sama agar pembinaan balai bomba baharu dapat dilaksanakan dalam DUN Asahan.

Ia bagi membolehkan bantuan kecemasan kebakaran dapat dilakukan dengan lebih cepat berbanding tempoh sekarang yang memerlukan masa kira-kira 30 minit dari Jasin ke Asahan seterusnya ke Pekan Selandar.

Melalui pembinaan balai bomba baharu itu nanti dijangka dapat mempercepatkan bantuan kecemasan iaitu antara 15 hingga 20 minit sahaja.

Ketika ini, Asahan mendapat bantuan balai bomba terdekat iaitu dari Gemencheh, Negeri Sembilan.

“Permintaan kita ini (balai bomba baharu) satu keperluan, maka saya harap pembinaan balai bomba ini nanti dapat disegerakan.

“Saya juga percaya pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri juga sedang berusaha mencari bantuan atau bajet bagi nempercepatkan rancangan ini.

“Kita tidak mahu jika rancangan ini tidak dilakukan segera, kita bimbang akan berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini, tetapi sudah terlambat nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1742
Kongsi :
Previous post Melaka sasar setengah juta pelancong Singapura
Next post Tiada operasi SPRM di Kementerian Sumber Manusia – Saravanan
Ubah saiz-+=