Sorting by

×

Peniaga wanita rugi RM4,700 ditipu khidmat kemas rumah RM50

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 18 Julai- Peniaga wanita berputih mata apabila kerugian RM4,700 selepas terpedaya dengan tawaran perkhidmatan pembersihan, dalam kejadian semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, mangsa berusia 46 tahun berasal dari Kuala Sungai Baru tertarik dengan tawaran berkenaan di Facebook dan kemudian menekan pautan WhatsApp untuk urusan selanjutnya.

Beliau berkata, mangsa kemudian berhubung dengan suspek dikenali sebagai Fiona, sebelum diarahkan memuat naik aplikasi ‘Shinecleanmaid’ bagi membuat tempahan.

“Bayaran ditawarkan adalah RM50 bagi tempoh 5 jam. Selepas itu mangsa mengisi maklumat tempahan dan membuat pembayaran pendahuluan RM10 tetapi transaksi tidak berjaya sebelum diminta untuk membayar secara tunai.

“Namun selepas kira-kira 30 minit mangsa menerima pesanan daripada bank mengatakan terdapat pemindahan wang daripada akaunnya kepada pihak ketiga berjumlah RM4,700,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurutnya, disebabkan transaksi itu berlaku tanpa pengetahuan dirinya, mangsa menghubungi pihak bank dan dimaklumkan akaunnya dipercayai digodam.

“Merasa dirinya diperdaya mangsa tampil ke Balai Polis Kuala Sungai Baru dan membuat laporan pada hari yang sama.

“Berdasarkan keterangan, modus operandi digunakan kami tidak menolak kemungkinan ini adalah taktik baharu dikesan berlaku di negeri ini selain Polis Kontinjen Melaka baru menerima satu laporan membabitkan pengodaman ‘File’,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, pihaknya menasihati orang awam agar lebih berhati-hati dalam dengan tawaran yang diiklankan di media sosial selain jangan mudah mengisi maklumat diri pada pautan yang diberikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1244
Kongsi :
Previous post Kastam rampas bahagian haiwan liar RM80 juta, terbesar dalam sejarah
Next post Polis Kelantan tahan pemuda hina Islam di Facebook
Ubah saiz-+=