Sorting by

×

‘Abang Viva’ timba ilmu pertahanan awam

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 17 Julai – “Sebelum ini tengok orang pengsan pun saya lari, sekarang Insya-Allah saya boleh bantu dengan ilmu yang ada semasa menyertai kursus asas pertahanan awam ini”.

Itu perkongsian peserta kursus, Azwan Omar, 30, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva’ yang mengambil peluang menimba ilmu berkenaan pertahanan awam bermula 15 hingga 17 Julai.

“Untuk pengalaman pertama kali sertai kursus Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ini banyak benda baru yang saya pelajari.

“Saya diajar ikatan simpul mati dengan lebih baik dan diajar menjadi lebih berdisiplin yang mana pengalaman ini tidak dapat di tempat lain.

“Sebelum ini saya memang tidak tahu apa-apa, pergi misi bantuan banjir pun secara solo tanpa pengalaman semua..tapi dengan kursus ini stamina kita semakin bertambah,” katanya.

Azwan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Asas Pertahanan Awam Siri 2/2022 yang dirasmikan Ketua Bahagian Operasi, Latihan dan Angkatan APM Melaka, Kapten (PA) Aljibin Suddin di Pejabat APM Melaka di sini, hari ini.

MELAKA 17 JULAI 2022. Ketua Bahagian Operasi, Latihan dan Angkatan, Kapt. (PA) Aljibin Suddin (kanan) menyampaikan sijil kepada Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 30, (kiri) pada majlis penutup kursus asas pertahanan awam negeri Melaka siri 2/2022 di Pejabat Negeri Pertahanan Awam Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Kursus tersebut disertai seramai 42 peserta terdiri daripada guru, pelajar Tingkatan 6 dan orang awam.

Seorang lagi, A. Vethaloshini,19, berkata kursus berkenaan dapat melatih dirinya untuk menjadi pelajar yang lebih berani.

“Kita pelajar tingkatan enam ini banyak hadapi stress, bila datang sini dapatlah hilangkan tekanan jumpa orang awam yang berbeza umur dan latar belakang.

“Sebelum ini dengar orang cakap CPR, kawad kaki semua tapi tak pernah tahu bagaimana, tapi sekarang saya sudah boleh buat asas CPR tersebut,” katanya.

Sementara itu, Guru Kolej Tingkatan 6 Tun Fatimah Zarina Abu Bakar, 49, berkata menyertai kursus selama tiga hari bermula itu memberi cabaran baharu buat dirinya.

MELAKA 17 JULAI 2022. Ketua Bahagian Operasi, Latihan dan Angkatan, Kapt. (PA) Aljibin Suddin (tengah) bergambar bersama seramai 42 peserta kursus pada majlis penutup kursus asas pertahanan awam negeri Melaka siri 2/2022 di Pejabat Negeri Pertahanan Awam Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

“Tiga hari ini adalah pengalaman yang sangat bermakna selepas lama terkurung dan mengajar di rumah disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Di sini kita tinggalkan semua kerja dan perihal sekolah supaya dapat menimba ilmu baharu sekali gus melatih pelajar saya untuk membantu orang semasa waktu kecemasan.

“Biarpun saya menjadi peserta agak berumur berbanding anak-anak muda yang lain, namun itu bukan halangan untuk saya turut serta dan menimba ilmu pertahanan awam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1668
Kongsi :
Previous post Tenis Billy Jean King Cup: Malaysia mahu cipta kejutan
Next post Tawaran diskaun saman PDRM, JPJ melalui Whatsapp adalah palsu
Ubah saiz-+=