Sorting by

×

‘Jangan cacatkan pemandangan Pantai Puteri’

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PANTAI KUNDOR 17 Julai – Kira-kira 120 peniaga makanan di Pantai Puteri di sini, di harap dapat mengubah sikap agar tidak lagi meninggalkan peralatan meniaga di tapak parkir yang disediakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi berkata, peralatan berniaga seperti besi khemah, meja dan kerusi yang ditinggalkan akan mencacatkan pemandangan pantai peranginan itu yang menerima kira-kira 5,000 pengunjung sehari pada setiap hujung minggu.

Bukan itu sahaja, bahkan, katanya, tindakan itu juga dikhuatiri boleh meningkatkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya di sepanjang 2.5 kilometer pantai berkenaan.

“Pernah berlaku kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang terlanggar peralatan niaga inidvidu yang ditinggalkan di bahu jalan dan pada masa sama ia juga mencacatkan pemandangan pantai ini.

“Keadaan itu sekali gus tidak bertetapan dengan pengisytiharan Pantai Puteri sebagai lokasi pantai pelancongan utama negeri ini.

“Lagipun sudah termaktub dalam peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak membenarkan peniaga meninggalkan barang mereka di bahu jalan selepas niaga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Pendengaran Awam, Sejahterakan Bandarayaku #PantaiKundor Dihatiku di Kompleks JAPERUN Pantai Kundor di sini, semalam.

Program anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan melibatkan pelbagai agensi lain itu dihadiri seramai 50 warga DUN Pantai Kundor.

Mengulas lanjut, Tuminah berkata, peringatan itu diberikan bukan untuk menghalang orang ramai daripada berniaga lebih-lebih lagi selepas pasca COVID-19 dan krisis kegawatan ekonomi yang dikhuatiri berlaku.

Namun, perkara itu perlu diberi penekanan bagi memastikan Pantai Puteri terus menjadi antara destinasi pelancongan di negeri ini.

“Kita harap isu seperti ini dapat ditangani dan jika ia masih berlarutan, MBMB memaklumkan notis peringatan akan dikeluarkan kepada peniaga terlibat.

“Jadi saya berharap peniaga serta penjaja akur dengan peraturan yang telah ditetapkan MBMB,” katanya.

Difahamkan selain isu peniaga, antara isu yang turut dibangkitkan pada pendengaran awam itu ialah isu pembersihan sampah di DUN Pantai Kundor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2112
Kongsi :
Previous post Resting Place of an Idea: The Power of Sunan Kalijaga
Next post Empat GRO, dua lelaki positif dadah ditahan
Ubah saiz-+=