Melaka tersenarai dalam UK Future Cities Programme
BANDA HILIR 16 Julai- Melaka terpilih antara sembilan bandar raya dalam Asia Tenggara yang terbabit dalam UK Future Cities Programme.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri melahirkan rasa bangga di atas pemilihan negeri ini antara bandar dari enam negara di Asia Tenggara dalam program berkenaan.
“Kami amat berbangga apabila menjadi antara yang terpilih dalam UK Future Cities Programme, selaras mencapai matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu, Makmur, Inklusif dan Malaysia Mampan.
“Melaka juga amat komited memainkan peranan dalam membangunkan kestabilan dan pemeliharaan warisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pelan Induk Pengangkutan Hijau Melaka (GTIMP) ke arah Melaka yang mampan dan Pintar.
Pelan Induk yang dibangunkan ini turut meliputi Pelan Pelaksanaan Rangkaian Bas Hijau (GBNIP) dan Pelan Mobiliti Bersepadu Kawasan Warisan Melaka (MHAIMP).
Mengulas lanjut Sulaiman berkata, UK Future Cities Programme ini adalah kerjasama bersama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM).
“GTIMP mencadangkan alternatif pengangkutan nyang boleh dilaksanakan merangkumi mobiliti hijau seperti pengangkutan awam dan mobiliti aktif yang membawa kepada pembangunan persekitaran dan sosio-ekonomi bandar.
“Fasa perintis yang bermula hari ini menggabungkan kolobrasi awam-swasta untuk menyokong mobiliti hijau ini termasuk e-skuter dan e-basikal malah Panorama Melaka Sdn Bhd akan menggunakan bas elektrik,” katanya.
Menurut beliau, Melaka juga menyasarkan menjadi negeri pintar kelas dunia dan bandar raya hijau dengan mengurangkan kadar intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.
“Dengan kestabilan sistem pengangkutan kita mampu menyelamatkan persekitaran dan juga kawasan UNESCO. Galakan penggunaan pengangkutan awam sebagai alternatif secara langsung dapat meningkatkan pelancongan Melaka,” katanya.
Terdahulu, majlis pelancaran turut dihadiri Pesuruh Jaya Tinggi British ke Malaysia TYT Charles Hay MVO, EXCO Pengangkutan Datuk Rahmad Mariman dan Pegawai Eksekutif PTHM Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.